
Dalam Sibuk Cari Rezeki, 'Abang Rider' Sanggup Berhenti Tepi Jalan Bantu Lelaki OKU
Umum mengetahui, penghantar makanan sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain demi memastikan pesanan pelanggan dihantar tepat pada waktunya.
Malah, rutin harian mereka juga sering dipenuhi dengan pelbagai cabaran seperti cuaca panas, hujan, kesesakan jalan raya serta tekanan mengejar masa bagi mencari rezeki.
Namun begitu, di sebalik kesibukan dan kepenatan tersebut, masih ada penghantar makanan yang sanggup berhenti seketika untuk menghulurkan bantuan kepada individu yang memerlukan.
Sikap prihatin dan nilai kemanusiaan seperti inilah yang membuatkan ramai percaya bahawa kebaikan masih wujud dalam masyarakat hari ini.
Penghantar makanan bantu lelaki OKU
Baru-baru ini, tular sebuah video menyentuh hati di media sosial yang memaparkan tindakan seorang penghantar makanan membantu seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda di tepi jalan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @ochulaah di TikTok, pakcik itu dilihat sedang bergelut untuk bergerak sebelum penghantar makanan tersebut berhenti bagi menghulurkan bantuan.

Apa yang lebih menyentuh hati ramai, penghantar makanan itu bukan sahaja membantu menolak kerusi roda, namun turut membawanya ke kawasan yang lebih teduh.
Bukan itu sahaja, dia juga turut mengalihkan barangan milik pakcik tersebut dan meletakkannya lebih dekat agar mudah dicapai.
“Abang rider tu tak sekadar lalu, dia pilih untuk berhenti dan tolong pakcik tu. Itu yang buat ramai sebak,” tulis @ochulaah.
Masih sempat bantu orang lain walaupun sibuk cari rezeki
Perkongsian daripada @ochulaah itu turut mengundang perhatian ramai kerana tindakan penghantar makanan berkenaan dianggap sangat ikhlas.
Lebih-lebih lagi ketika kebanyakan penghantar makanan sentiasa mengejar masa untuk menghantar pesanan pelanggan.

Malah, ramai menyifatkan golongan yang bekerja keras mencari rezeki inilah yang kadangkala paling cepat menghulurkan bantuan apabila melihat orang lain berada dalam kesusahan.
“Dalam sibuk kejar order dan cari rezeki, abang ni masih sempat fikir pasal orang lain.”
“Kadang orang yang paling penat cari rezeki, dia jugak yang paling ikhlas membantu,” tulis @ochulaah di ruangan kapsyen.
Baca juga: