
"SEMOGA dengan anugerah ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan manfaat pada masyarakat."
Demikian titip qariah dan pendakwah Nor Farhatul Fairuzah selepas menerima Anugerah Keusahawanan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini.
Dalam kesibukannya menyambung pengajian di peringkat sarjana dan dalam masa yang sama bergelar isteri dan ibu, Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 itu membuktikan kemampuannya dalam bidang keusahawanan.

Tokoh muda yang tersohor dalam bidang tilawah Al-Quran bersyukur perkhidmatan al-Quran dan buku ilmiah yang diberikan selama ini diiktiraf.
"Kejayaan yang tidak disangka-sangka apabila disenaraikan dalam kategori Platform Digital Graduan terbaik di bawah syarikat Permata Wahyu Resources yang memberikan perkhidmatan kelas mempelajari al-Quran dan buku bacaan ilmiah menerusi House of Quran MY.
"Menjadi insan yang terus istiqamah bersama dengan al-Quran. Terima kasih KPT, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS atas peluang ini," kongsinya.
Sementara itu, Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS UKM menyifatkan kejayaan graduan berusia 26 tahun ini adalah bersesuaian dengan sumbangannya.

"Nor Farhatul Fairuzah Panut menerima pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian beliau bagi kategori Platform Digital Graduan Terbaik. Beliau merupakan tokoh muda yang tersohor dalam bidang tilawah Al-Quran dan pernah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019.
"Kejayaan tersebut bukan sahaja meningkatkan reputasi beliau di peringkat global, malah membuka ruang untuk beliau terus menyumbang kepada pembangunan dakwah dan pendidikan Islam secara progresif melalui platform digital," kongsinya menerusi Instagram.
Graduan Sarjana Muda Pengajian al-Quran & al-Sunnah yang mesra disapa Farha menerima ucapan tahniah daripada warga maya.
Sekadar info, Farha yang merupakan qariah termuda yang menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017) memiliki tauliah mengajar bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Farha mendirikan rumah tangga dengan Ustaz Mohammad Ilham Amri dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Fahim.
