
Tenom: SJKC Kong Min dan SM Chung Hwa Tenom berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Kejohanan Karate Antara Sekolah Daerah Tenom Ke-13 2026 yang berlangsung di Dewan SM Chung Hwa baru-baru ini.
SJKC Kong Min mengekalkan kejuaraan keseluruhan kategori sekolah rendah selepas mengumpul sembilan pingat emas, enam perak dan empat gangsa sekali gus mengulangi kejayaan tahun lalu.
SM Chung Hwa Tenom turut mengekalkan penguasaannya dalam kategori sekolah menengah dengan kutipan 10 pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.
Bagi kategori sekolah rendah, SK St. Anthony muncul naib juara dengan satu pingat perak dan satu gangsa. Sementara itu, SK St. Pius dan SK Melalap berkongsi tempat ketiga selepas masing-masing meraih satu pingat perak.
Dalam kategori sekolah menengah, SMK Tenom muncul naib juara dengan kutipan empat pingat emas, lapan perak dan empat gangsa, diikuti SM Tshung Tsin di tempat ketiga dengan tiga pingat emas. SMK Chinta Mata berada di tempat keempat, diikuti SMK Kemabong, SMK Entabuan dan SMK St. Anthony.
Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin merasmikan kejohanan itu.
Dalam ucapannya, Riduan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan jawatankuasa pelaksana kerana berjaya menganjurkan kejohanan berimpak tinggi itu, sambil menyifatkannya sebagai platform terbaik bagi atlet muda mempamerkan bakat serta meningkatkan kemahiran mereka.
Beliau turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh peserta. Selain itu, beliau mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, guru dan jurulatih yang disifatkannya sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan sukan di daerah ini.
Menurut Riduan, kejohanan seperti ini membantu mencungkil bakat baharu dalam sukan karate dan membuka peluang kepada atlet untuk mewakili Tenom, Sabah serta Malaysia dalam pertandingan di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan peserta bahawa nilai sebenar sesuatu pertandingan bukan sekadar terletak pada kemenangan tetapi juga dalam menampilkan semangat kesukanan, disiplin, daya tahan serta sahsiah yang baik sepanjang kejohanan berlangsung.
Kejohanan itu mempertandingkan acara Kumite (pertarungan), Kata individu, Kata berpasukan tiga orang bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah, selain acara pertarungan terbuka lelaki dan wanita.
Atlet dari 14 sekolah rendah dan menengah di seluruh daerah mengambil bahagian.
Kejohanan tahunan itu bukan sahaja menjadi platform persaingan sihat dalam kalangan atlet muda malah mencerminkan perkembangan positif sukan karate di Tenom menerusi penyertaan yang semakin menggalakkan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian, individu serta syarikat yang memberikan sokongan sehingga kejohanan itu berjaya dilaksanakan.
Ucapan penghargaan khas turut ditujukan kepada Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Yea Foh Kedai Kopi & Teh, Kilang Kopi Tenom Cap Fatt Choi serta Loo Mei Fong atas sumbangan kewangan dan tajaan yang diberikan.
