
BYD Sime Motors terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dengan mengumumkan tiga pencapaian utama iaitu pembinaan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, pelancaran sedan elektrik BYD SEAL Baharu serta perasmian pusat 3S BYD terbesar negara di Balakong.
Kilang CKD baharu yang berkeluasan 600,000 meter persegi itu dijangka mula beroperasi pada 2026 menjadikan Malaysia sebagai hab strategik bagi pengeluaran kenderaan elektrik (EV) BYD di rantau ini.
Menurut Liu Xueliang, Pengurus Besar Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Malaysia merupakan pasaran penting di Asia Tenggara dan pelaburan ini akan mempercepatkan peralihan negara ke arah pengangkutan lebih hijau dan pintar.
Pada masa sama, BYD turut memperkenalkan BYD SEAL Baharu dalam dua varian iaitu varian Premium dan Performance.
Model ini hadir dengan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat, jarak perjalanan sehingga 650 km serta dilengkapi suspensi canggih dan rekaan lebih mewah.
Harga bermula daripada RM171,800 untuk model Premium dan RM191,800 untuk model Performance dengan empat pilihan warna termasuk varian baharu Shark Grey.
Keistimewaan dan penambahbaikan pada jentera BYD Seal baharu ialah:
Catatan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat, menjadikannya salah satu sedan elektrik terpantas dalam segmennya.
Varian Premium mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 650 km NEDC, menjadikannya pilihan jarak jauh yang unggul.
Suspensi canggih dilengkapi dengan Sistem Kawalan Badan Peredaman Pintar DiSus-C, teknologi mewah untuk kawalan dan pemanduan lebih yakin.
Menggunakan penyerap hentakan Peredaman Frekuensi Terpilih (FSD) untuk keselesaan dan kawalan seimbang.
Selain itu, jentera ini juga dipersembahkan dengan rim aloi 19 inci bentuk baharu.
Bagi meraikan pelancaran, 300 pelanggan pertama bakal menikmati pakej promosi sehingga RM10,888 termasuk pengecas dinding percuma, servis dan rebat khas.
Dengan pembukaan pusat 3S BYD terbesar di Balakong dan rangkaian 36 cawangan di seluruh negara, BYD bertekad memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kenderaan elektrik No.1 di Malaysia.












