Tiada keperluan wujud subjek kenali agama lain, kata Maszlee

19 May 2019 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SIMPANG RENGGAM - Kementerian Pendidikan tidak bersetuju dengan cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk memperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau juga konsisten dengan cadangannya sebelum ini yang mahukan agar setiap sekolah dan universiti di negara ini mengadakan program merentas budaya dan kaum secara kerap.

"Baru-baru ini sewaktu saya ke Pulau Pinang, saya telah lihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ada kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan di negeri Johor kita ada Sekolah Islam Hidayah (SIH) yang aktif buat program bersama sekolah-sekolah vernakular lain.

"Jadi, kita galakkan sekolah berlainan aliran ini untuk buat program silang budaya ini dan biasanya silang budaya ini lebih kepada perayaan dan kalau boleh kita hendak pergi lebih jauh daripada itu untuk saling memahami budaya masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam ditemui pada sidang media Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan di Kampung Parit Haji Hashim, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau turut menegaskan apa yang penting adalah penghayatan bagaimana para pelajar saling menghayati dan berinteraksi melalui aktiviti-aktiviti yang lebih praktikal seperti kokurikulum dan sebagainya.

Semalam, Presiden MBM, Jufitri Joha dilaporkan berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan tersebut tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti penganut pelbagai agama di negara ini.


View Original Article