ADUN Dengkil ditahan: Amirudin nafi pertikai tugas polis

14 Jan 2020 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan pihaknya mengeluarkan poster yang mempertikaikan tindakan polis terhadap penangkapan seorang wakil rakyat di negeri ini.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Amirudin menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana poster tersebut yang didakwa dikeluarkan olehnya adalah palsu dan tidak benar.

Poster tersebar itu memaparkan gambar Amirudin dengan kenyataan ‘Jika benar berlaku penangkapan terhadap ADUN Selangor, ianya adalah tugas pihak berkuasa yang menjalankan tugas. Tetapi perbuatan menyebarkan laporan polis berkenaan perkara terbabit adalah satu perbuatan tidak bermoral dan pihak berkuasa perlu melakukan tindakan segera ke atas mereka.

“Poster ini adalah satu kenyataan palsu dan tidak benar sama sekali. Saya telah memberi respon bahawa pihak polis harus diberi ruang melaksanakan siasatan menyeluruh dan menyediakan laporan lengkap.

“Tiada individu yang mengatasi undang-undang. ‘No man is above the law’. Mereka yang bersalah harus dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya. Ini adalah prinsip yang diamalkan Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Terdahulu, Amirudin berkata, tiada siapa melebihi undang-undang ketika diminta mengulas berhubung dakwaan seorang wakil rakyat negeri ini, Adhif Syan Abdullah yang ditahan polis tengah malam kelmarin.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor sebelum ini berkata, sesiapa pun harus bertindak dalam batas undang-undang di negara ini.

Beliau berkata, perlu mendapatkan laporan lanjut daripada pihak berkuasa terutama pihak polis berkenaan kejadian itu kerana hanya mendapat makluman mengenainya melalui media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin sahkan ADUN Dengkil ditahan polis