Sesi dialog redakan ketegangan di Hong Kong

17 Sep 2019 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong hari ini memaklumkan beliau akan terlibat secara langsung dengan pasukan pentadbirannya dalam sesi dialog dengan komuniti pada minggu depan dan turut mengulangi gesaan supaya menghentikan protes ganas di bandar raya itu yang berlarutan selama lebih tiga bulan.

Carrie Lam yang berdepan tekanan China supaya meredakan kemarahan awam berkata, sesi dialog tersebut akan diadakan secara terbuka dan orang ramai boleh mendaftar kehadiran mereka.

"Komuniti Hong Kong telah sekian lama membangkitkan pelbagai masalah di peringkat akar umbi seperti isu ekonomi, sosial malah politik. Saya harap bentuk dialog yang berbeza ini dapat menyediakan platform kepada kami untuk berbincang," jelasnya.

Semalam, polis memaklumkan kira-kira 89 ditangkap selepas penunjuk perasaan bertindak ganas menyerang anggota polis akhir minggu lalu.

image is not available
Carrie Lam - Foto AFP

Sehingga kini, pihak berkuasa telah memberkas hampir 1,500 individu sejak protes yang berpunca daripada bantahan rang undang-undang ekstradisi ke China bertukar menjadi ganas pada Jun lalu. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa pemuda Hong Kong marah?