Tabung Haji: Pemuda UMNO konsisten tuntut penubuhan RCI

10 Jul 2020 • 8:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof agar tidak mengambil kesempatan politik di sebalik pengumuman keuntungan RM1.25 bilion Lembaga Tabung Haji (TH) bagi enam bulan pertama tahun 2020.

Asyraf Wajdi berkata, hakikat yang tidak disedari ialah sebahagian besar keuntungan tersebut merupakan keuntungan sukuk Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) yang masih belum dibayar.

Selain itu, beliau berkata, ia hanya untung di atas kertas dan TH menanggung risiko amaun itu berkemungkinan tidak akan dibayar selagi mana sukuk tersebut belum dijamin oleh kerajaan.

"Kedua, keuntungan ini juga disumbangkan oleh ketiadaan ibadah haji tahun ini. Secara tidak langsung, TH tidak perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM300 hingga RM400 juta seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

"Tetapi dalam keadaan sebegitu pun, prestasi keuntungan TH masih jauh ketinggalan berbanding tahun-tahun terakhir pemerintahan Barisan Nasional (BN). Pada tahun 2017, TH mencatatkan keuntungan RM3.412 bilion. Keuntungan ini telahpun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara pada zaman awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Adakah keuntungan bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibangga-banggakan oleh Kekanda Mujahid telahpun diaudit oleh pihak berkuasa? Jika ya, dimana laporan audit tersebut? Pengakuan Kekanda Mujahid bahawa tidak berlaku sebarang penjualan aset Tabung Haji juga meleset," kata Asyraf di Facebook beliau hari ini.