1,000 pelajar di P. Pinang terima manfaat program ‘Educare Kembali ke Sekolah 2023’

13 Feb 2023 • 3:33 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KEPALA BATAS: Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT PP) mengagihkan bantuan persekolahan kepada 1,000 pelajar kurang berkemampuan menerusi program ‘Educare Kembali Ke Sekolah 2023’ tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT PP Datuk Seri Rozali Mohamud berkata program itu diadakan bertujuan untuk meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

“Setiap pelajar yang terlibat akan menerima baucar bernilai RM250. Mereka boleh menggunakan baucar itu untuk membeli barangan kelengkapan persekolahan seperti dua pasang uniform sekolah, kasut sekolah, stoking, beg sekolah, alat tulis dan peralatan untuk ke sekolah,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada 80 pelajar golongan B40 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Mydin Bertam di sini hari ini.

Katanya, para pelajar dan ibu bapa diberi kemudahan untuk menggunakan baucar itu di enam cawangan Mydin wilayah utara iaitu di Mydin Bertam, Mydin Penang Road, Mydin Bukit Jambul, Mydin Taman Saga, Mydin Parit Buntar serta Mydin Taman Batik.

Rozali berkata RM250,000 diperuntukkan bagi program itu yang melibatkan 21 sekolah di negeri tersebut.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dari Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya, Noorazalina Johari berkata bantuan persekolahan yang diberikan itu sangat membantu para pelajar golongan kurang berkemampuan.

“Kos sara hidup kini semakin meningkat, melalui bantuan baucar ini, murid-murid dapat membeli barangan keperluan ke sekolah yang lengkap tanpa bergantung kepada pendapatan ibu bapa mereka, “ katanya.

P. Veni, 13, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Juru berkata dia gembira terpilih menerima bantuan itu.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan ini kerana ia sangat membantu meringankan beban keluarga saya untuk membeli barangan lengkap persekolahan ini.

“Saya berasa teruja untuk ke sekolah selepas cuti sekolah berakhir,“ katanya. -Bernama