
TAWAU: Seramai 1,000 pelajar di sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan menerima sumbangan beg sekolah secara berperingkat anjuran Pejabat DUN Kukusan.
Adun Kukusan, Rina Jainal berkata program itu diadakan sempena siri jelajah agihan beg sekolah bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar dalam kalangan B40, asnaf, anak yatim dan murid berkeperluan khas.
Menurutnya, inisiatif tersebut adalah yang kedua dilaksanakan selepas 2018, selepas terhenti kerana penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Saya berharap hadiah kecil ini akan dapat menyuntik semangat anak-anak untuk belajar demi masa depan yang lebih baik dan mengubah nasib keluarga,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada 245 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih di Dewan SK Kukusan, pada Isnin.
Hadir sama, Guru Besar SK Kukusan, Sopiah Ahmad; Guru Besar SK Jambatan Putih, Surtinah Amran dan Guru Besar SK Bahagia, Ismail Banchir.
Beliau menambah, selain murid sekolah rendah, pihaknya juga akan mengagihkan beg sumbangan tersebut kepada tiga sekolah menengah dalam mukim DUN Kukusan, yang juga diadakan secara berperingkat.
Mengulas lanjut, Rina berkata bantuan tersebut juga merupakan tanda ingatan dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat memerlukan di negeri ini.
Justeru, beliau meminta agar ibu bapa dapat memberikan kerjasama kepada pihak sekolah agar proses pembelajaran dan pengajaran anak-anak mereka dapat berjalan lancar.
Salah seorang penerima sumbangan beg, Nur Hawa Izzatie Aziz berkata, dia sangat gembira kerana akhirnya dapat merasai beg sekolah baru memandangkan begnya sebelum ini sudah lama dan usang.
“Saya rasa lebih bersemangat untuk belajar dan hadir ke sekolah,” kata murid SK Jambatan Putih itu.
Sementara itu, Penolong Kanan I SK Kukusan, Sulaini Kadir pula menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Rina kerana memberi hadiah kepada anak-anak murid mereka yang sememangnya ramai memerlukan bantuan.
“Kita berharap bantuan sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar anak-anak kita lebih bersemangat menimba ilmu pengetahuan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
