1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma

LocalHealth & Fitness
16 Aug 2026 • 3:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma

BATU KAWAN – Seramai 1,000 pencarum menerima MYRIDERID, iaitu sistem pengenalan kecemasan digital berasaskan imbasan kod QR yang diberikan secara percuma sempena pelancarannya, di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hari ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memaklumkan, sistem ini merupakan salah satu inisiatif memperkukuh perlindungan dan keselamatan penunggang motosikal di negara ini menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).

“MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan maklumat penting penunggang seperti kontak kecemasan dan maklumat kesihatan yang boleh diakses melalui imbasan kod QR ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.

“Bertepatan dengan slogan “Maklumat Tepat, Nyawa Selamat”, MYRIDERID memanfaatkan teknologi kod QR bagi membolehkan maklumat penting penunggang diakses dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan sekali gus menyokong pengurusan kecemasan yang lebih cekap dan efektif.

“Usaha ini merupakan sebahagian pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan respons pasca kemalangan,” katanya hari ini.

Jelas Perkeso lagi, langkah ini diambil rentetan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus kekal sebagai pengguna jalan raya paling berisiko.

Menurutnya, golongan ini merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

Inovasi daripada MYRIDERID ini mampu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting penunggang dapat diakses pada saat paling kritikal sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Perkesodalam meneroka pendekatan inovatif yang memberi nilai tambah kepada perlindungan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, dalam majlis sama, Perkeso turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.

Kolaborasi ini akan memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.

Program pelancaran turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan Perkeso, Dr. Azlan Darus, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano, serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri B Ahmad. – KOSMO! ONLINE

The post 1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved