
PAPAR: Kira-kira 1,000 penduduk Melinsung Summer Bay Apartment membuat perhimpunan aman pada Sabtu untuk mendesak pihak pengurusan dan agensi kerajaan membantu menyelesaikan masalah air di kawasan perumahan itu.
Perhimpunan itu dibuat selepas lebih 10 tahun berhadapan dengan masalah air yang saban hari semakin teruk.
Pengerusi Persatuan Komuniti Penduduk Melinsung Apartment, Herman Jamal, 50, berkata, masalah air semakin meruncing sejak beberapa minggu lalu hingga menyebabkan ada penduduk yang terpaksa membeli air mineral untuk memasak.
Malah, dia mendakwa, ada penduduk yang terpaksa mengambil air dari kolam renang apabila langsung tiada air.
SPONSORED CONTENT Damar Residence coming up soon PAPAR: Those who love nature and a healthy lifestyle should consider Damar Residence, in Lok Kawi. Read more Beliau berkata, bekalan air di kawasan perumahan yang dihuni lebih 1,000 penduduk itu dikawal sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan bukannya diperoleh secara langsung daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Dia mendakwa, apabila penduduk memohon bantuan daripada wakil rakyat untuk menghantar lori tangki air, pengurusan akan mengarahkan supaya air itu diisi ke dalam tangki mereka.
Penduduk tidak dibenar mengambil air secara langsung dari lori tangki berkenaan dengan alasan pengisian tangki air pengurusan memudahkan penyaluran air ke rumah-rumah penduduk.
Namun, bekalan air hanya dapat disalurkan kepada penghuni di aras bawah, dan tidak sampai ke rumah penduduk di tingkat dua dan tiga.
“Jadi, kami terpaksa mengangkat air menggunakan gelen dan baldi berulang kali dari bawah. Kalau golongan muda, mungkin tiada masalah, tetapi ada dalam kalangan penduduk terdiri daripada warga emas dan ibu mengandung yang tinggal bersendirian.
“Bayangkan macam mana warga emas dan ibu mengandung mahu mengangkat air menggunakan gelen atau baldi untuk naik ke tingkat tiga berulang kali,” katanya, ketika ditemui pada Sabtu.
Seorang lagi penduduk, Hafiza Saad, 53, berkata, dia agak beruntung kerana rumahnya di aras bawah, jadi dia tidak perlu mengangkat air seperti penduduk yang tinggal di tingkat atas.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, sama sekali tiada bekalan air hingga menyebabkan dia terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian. “Kami agak pelik kerana kedai dan restoran yang berada di luar kawasan pangsapuri ini tidak pula berhadapan dengan masalah ketiadaan air. Mereka masih menerima bekalan sedangkan kami tidak menerima air daripada pengurusan,” katanya.
Justeru, mereka berharap pihak pengurusan dapat menyediakan pelan kecemasan bagi memastikan bekalan air terus disalurkan kepada penduduk. Di samping itu, mereka juga berharap agensi kerajaan berkaitan dapat tampil membantu berunding dengan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk di sini sejak sekian lama.
Seorang lagi penduduk, Norlin Jusalim, 38, berkata dia terpaksa turun dan naik beberapa kali untuk mengangkat air ke rumahnya di tingkat tiga.
“Air tidak naik sampai ke tingkat atas, jadi penghuni yang tinggal di atas terpaksa turun mengangkat air. Memang menyusahkan terutama keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai,” keluhnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


