
SANDAKAN: Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447H/2025M di Masjid Daerah disertai kira-kira 1,000 jemaah.
Majlis yang disertai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu bermula selepas solat fardhu Maghrib yang diimamkan oleh Imam Masjid Negeri Suhaidi Kuanting, sebelum Suhaidi mengetuai bacaan Surah Yassin dan tahlil diikuti doa kesyukuran dipimpin oleh Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Sementara itu, tazkirah khas sempena dengan Maulidur Rasul SAW pula disampaikan oleh Pengurus Besar Al Jam’iyatul Washliyah, Indonesia Kiai Dr. Masyhuril Khamis.
Usai solat fardhu Isyak dan solat hajat, Hajiji diiringi Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama dan Pendidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447H, menyantuni jemaah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, pada Khamis malam.
Antara yang hadir ialah isteri Hajiji, Datin Seri Juliah Salag, isteri Kadzim, Noraini Salleh serta isteri Mohd Arifin, Datin Lenny Natasha Musa.


