1,041 Pembayar Zakat Terpilih Sebagai Pemenang Kempen Ramadan PPZ-MAIWP

7 Jun 2023 • 5:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

KUALA LUMPUR, 7 JUN 2023 : Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Ramadan Anugerah Terindah di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan.

Seramai 1,041 pembayar zakat dan wakaf dipilih sebagai pemenang Kempen Ramadan Anugerah Terindah yang diadakan pada 23 Mac hingga 21 April 2023 dengan membawa pulang pelbagai hadiah menarik seperti baucar KFC, Rehal, Telekung dan Sejadah Eksklusif, Naskhah Al-Quran Tagging, Jam Buruj, Set Solat Eksklusif serta Pakej Menunaikan Umrah.

Sepanjang Ramadan, PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM176,205,257.15 manakala wakaf tunai pula sebanyak RM674,416.30 dengan jumlah pembayar seramai 1,759.684 orang.

Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang kempen dan mengajak orang ramai agar bersama-sama PPZ-MAIWP menyebarluaskan dakwah zakat.

“Tugas dakwah dan mengajak ke arah kebaikan ini tidak hanya terhad kepada institusi agama, selagi yang disampaikan itu tepat dan membawa kepada kebaikan, maka ianya boleh dipikul oleh sesiapa sahaja termasuklah kita semua,” kata beliau.

Tambahnya lagi, hadiah yang ditawarkan ini adalah sebagai galakan untuk menunaikan zakat selain tanda penghargaan atas sokongan kepada PPZ-MAIWP.

Pemenang hadiah utama Pakej Umrah, Encik Zulkifli Jafar berasa bersyukur diumumkan sebagai pemenang hadiah utama bagi kempen ini.

“Saya tidak sangka dipilih sebagai salah seorang pemenang untuk kempen dan ini adalah inisiatif yang baik dari PPZ-MAIWP untuk mempromosikan zakat kepada masyarakat dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran. Untuk itu marilah kita bersama-sama menunaikan zakat di PPZ-MAIWP,” katanya.