1.1 Juta PMKS Berdepan Krisis Ekonomi Global, Guan Eng Cadang 5 Langkah Kewangan
Penasihat DAP, Lim Guan Eng telah menyerahkan sepucuk surat cadangan yang mengandungi lima langkah kewangan jangka masa pendek kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, ia merupakan langkah-langkah untuk menyelamatkan Perindustrian Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam suasana krisis ekonomi global.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Guan Eng berkata beliau menyerahkan surat itu kepada Anwar ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 8 April lalu.
"Selain daripada kemeruapan(volatility) atau ketidaktentan harga sumber mentah, tekanan dan gangguan rantaian bekalan, lonjakan kos penghantaran dan logistik, PMKS kini menghadapi masalah kecairan kewangan.
"Pembekal sumber mentah enggan memberikan hutang atau syarat kredit sebulan ke tiga bulan sebaliknya mahukan urusan perniagaan dijalankan berdasarkan wang tunai.
"Tanpa sumber mentah, PMKS tak mampu mengeluarkan barangan mereka. Ini menyukarkan urusan kewangan banyak PMKS yang terpaksa membiayai kos-kos lain yang sudah naik melambung tinggi," katanya.

Berikut lima langkah kewangan jangka masa pendek untuk PMKS yang dicadangkannya:
Moratorium bayaran faedah untuk pinjaman sedia ada daripada institusi kewangan sehingga akhir tahun.
Moratorium ke atas pelaksanaan cukai tambahan, perluasan kos pematuhan dan pengawalseliaan dengan menggantung kenaikan SST, e-invois dan sumbangan 2% KWSP untuk pekerja asing yang berkuatkuasa sejak akhir tahun lepas.
Menyediakan pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran sebanyak RM 50,000 kepada setiap 100,000 PMKS yang bernilai RM 5 bilion.
Mewajibkan semua pelabur tempatan dan asing membeli 50% sumber bekalan daripada pengeluar tempatan melainkan ia tidak ada dalam pasaran tempatan.
Melonggarkan karenah birokrasi dan penguatkuasaan ketat dalam tempoh krisis ini.
Beliau berharap agar lima langkah kewangan itu boleh dilaksanakan dengan segera.
Ujarnya dalam surat itu, 1.1 juta PMKS kini menghadapi masalah survival mode ekoran peperangan di Timur Tengah yang mencetuskan kenaikan harga minyak melambung tinggi.
"Kerajaan Malaysia adalah satu-satunya harapan mereka untuk meringankan kos beban PMKS dan menjanakan perniagaan agar mereka tidak terpaksa gulung tikar pada akhir tahun ini," kata Guan Eng.


