
KUANTAN: Seramai 1,175 murid di Pahang melaporkan mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri sendiri hampir setiap hari berdasarkan dua kitaran Saringan Minda Sihat yang dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang tahun ini.
Daripada jumlah itu, seramai 974 murid dikesan menerusi Saringan 1 yang membabitkan 105,362 murid, manakala 201 murid lagi dikenal pasti dalam Saringan 2 melibatkan 22,581 murid.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, semua murid yang dikenal pasti melaporkan pemikiran sedemikian telah diberikan perhatian segera oleh pihak sekolah menerusi Guru Bimbingan dan Kaunseling serta dirujuk kepada fasiliti kesihatan mengikut keperluan.
Menurutnya, saringan berkenaan turut merekodkan 12,405 dapatan kes kemurungan dan kebimbangan pada tahap teruk serta sangat teruk dalam kedua-dua kitaran yang dilaksanakan.
Katanya, jumlah itu merangkumi 3,505 dapatan kes kemurungan dan 8,900 kes kebimbangan berdasarkan instrumen Patient Health Questionnaire-9 (PHQ-9) bagi mengesan tanda kemurungan serta Generalized Anxiety Disorder-7 (GAD-7) untuk mengenal pasti tanda kebimbangan.
“Bagi kategori kemurungan, sebanyak 2,544 kes atau 2.4 peratus direkodkan dalam Saringan 1, manakala 961 kes atau 4.3 peratus dikesan dalam Saringan 2.
“Untuk kategori kebimbangan pula, Saringan 1 merekodkan 6,782 kes atau 6.4 peratus, manakala Saringan 2 mencatatkan 2,118 kes atau 9.7 peratus pada tahap teruk dan sangat teruk,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini.
Beliau berkata, pemantauan kesejahteraan murid dilaksanakan sebanyak empat kali setahun oleh JPN Pahang menerusi Sektor Pembangunan Murid, Unit Hal Ehwal Murid (HEM), dengan tiga kitaran saringan sudah dilaksanakan sehingga 26 Oktober lalu.
“Dapatan saringan dianalisis mengikut daerah sebagai asas perancangan intervensi, dengan Temerloh, Rompin dan Cameron Highlands dikenal pasti merekodkan peratusan kes teruk lebih tinggi berbanding purata negeri.
“Pendekatan kerajaan negeri melalui JPN Pahang berteraskan tiga tindakan utama iaitu pencegahan, pengesanan awal dan intervensi bersasar, selain kerjasama rentas agensi serta penglibatan ibu bapa.
“Antara langkah dilaksanakan termasuk Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA), sesi kaunseling individu dan kelompok, latihan kemahiran mengurus tekanan serta emosi dan konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Beliau berkata, murid yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut garis panduan rujukan KPM-KKM dengan persetujuan serta penglibatan ibu bapa.
“Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperkukuh sokongan kesihatan mental menerusi penempatan 26 pegawai psikologi kaunseling di klinik kesihatan seluruh daerah, selain menyediakan perkhidmatan pakar psikiatri secara lawatan di 12 hospital di Pahang,” jelasnya.
Mohd. Soffi berkata, JPN Pahang akan meneruskan pemantauan menerusi kitaran saringan keempat tahun ini, selain memberi tumpuan kepada murid berisiko, memperluas intervensi di sekolah yang menunjukkan keperluan lebih tinggi dan memperkukuh latihan guru serta kaunselor.
Beliau turut menegaskan isu kesihatan mental murid memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat kerana kerajaan negeri tidak mampu menangani cabaran berkenaan secara bersendirian.-UTUSAN
The post 1,175 murid Pahang dilapor mahu cederakan diri appeared first on Utusan Malaysia.
