1,250 sekolah daif dibangunkan semula dengan kos RM13.8 bilion

2 Jul 2026 • 3:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

1,250 sekolah daif dibangunkan semula dengan kos RM13.8 bilion

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara diluluskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13.8 bilion.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sehingga Jun lalu, sebanyak 813 projek siap sepenuhnya, manakala 173 sedang dalam pembinaan dan 264 lagi berada di peringkat prabina.

"KPM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara.

"Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah di antara enam hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut KPM, bilangan sekolah daif yang dilaporkan sebelum ini bersifat dinamik dan berubah dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian semasa.

"KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa memantau rapi keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah daif.

"KPM sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan berkualiti dan ekosistem yang kondusif di semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan masyarakat," katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi jawapan bertulis di Parlimen semalam memaklumkan lebih 1,000 sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan tidak selamat dari segi struktur serta diklasifikasikan sebagai daif.

Menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo), beliau berkata, KPM komited dalam menyediakan prasarana pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved