
KERAJAAN Negeri telah mengeluarkan 1,330 geran Hakmilik Anak Negeri (NT) membabitkan hampir 7,000 ekar di seluruh Sabah sejak 12 Mei tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata hak milik tanah itu diberikan kepada 206 pemohon di Pitas, Telupid (181), Tongod (611), Bandau (51) dan 281 di sini.
Beliau menyampaikan hak milik membabitkan 1,546.68 ekar pada majlis di Dewan Terbuka Matunggong, Kudat, pada 16 Oktober lepas.
“Lebih banyak permohonan akan diluluskan apabila pemprosesan selesai,” katanya.
Hajiji juga memberi jaminan bahawa permohonan Adun Matunggong Datuk Julita Majungki supaya Matunggong dinaikkan ke daerah penuh, pembaikan jalan dan balai raya baharu sedang dipertimbangkan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Penolong Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ruddy Awah dan Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur Wahab Kanak.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
