1.4 tan sisik tenggeling dirampas di Thailand

18 Aug 2023 • 7:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANGKOK: Polis Thailand merampas 1.4 tan sisik tenggiling bernilai lebih 50 juta baht (RM6.5 juta) di wilayah Kalasin.

Biro Siasatan Pusat (CIB) dalam satu kenyataan berkata dua suspek lelaki berusia 34 dan 50 tahun ditahan dalam operasi bersama pada 8.30 malam (waktu tempatan) Rabu.

“Sisik tenggiling kering yang dimuatkan dalam 42 guni baja itu ditemukan di atas sebuah trak. Sisik tenggiling kering itu dianggarkan berharga 40,000 baht (RM5,200) sekilogram,” katanya.

CIB berkata siasatan awal mendapati sisik tenggiling yang akan dihantar ke China itu akan diangkut keluar melalui wilayah Mukdahan yang bersempadan dengan Laos.

Kedua-dua suspek akan didakwa memiliki secara haram bangkai haiwan yang dilindungi.

“Pemandu itu memberitahu polis bahawa dia dibayar 20,000 baht (RM2,600) untuk memandu trak, manakala pembantunya dibayar 7,000 baht (RM900),“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perlindungan Hidupan Liar dan Tumbuhan Prasert Sonsatahpornkul berkata sisik itu dianggarkan diperoleh daripada sekurang-kurangnya 3,000 hingga 4,000 tenggiling.

Sisik tenggiling digunakan dalam perubatan herba tradisional Cina manakala daging haiwan itu dianggap sebagai makanan istimewa. -Bernama