
SANDAKAN: Sebanyak 1,531 premis menawarkan Menu Rahmah telah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia menunjukkan sokongan peniaga terhadap usaha kerajaan untuk menyediakan makanan mampu milik kepada rakyat.
Justeru, Salahuddin menggalakkan peniaga untuk berdaftar dengan KPDN melalui laman sesawang menurahmah.kpdn.gov.my agar KPDN dapat membantu dari segi promosi.
“Menu Rahmah kini diperluaskan sehingga ke restoran, medan selera, kafetaria dan rangkaian makanan segera.
“Tiada syarat dikenakan kepada pengusaha yang berminat, cuma mereka perlu pastikan kandungan nutrisi yang ditawarkan adalah seimbang iaitu ada karbohidrat, protein dan vitamin,” katanya.
Salahuddin menjelaskan perkara tersebut semasa menghadiri Jelajah Menu Rahmah di Pasaraya Besar Mydin, Sandakan pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
Dalam majlis berasingan, Salahuddin telah melancarkan Pakej Rahmah yang ditawarkan oleh Hotel Elopura, Sandakan.
Hotel Elopura merupakan hotel pertama di Malaysia menawarkan pakej Rahmah di mana sepanjang bulan Ramadan ini, pengunjung boleh mendapatkan potongan harga sebanyak 20 peratus dan sahur percuma.
Semasa Hari Raya pula, pengunjung masih berpeluang menikmati potongan sebanyak 20 peratus bersama dengan sarapan pagi percuma.
“Pakej hotel Rahmah ini memberi peluang untuk pengunjung luar datang ke Sandakan sekali gus akan meningkatkan lagi industri pelancongan.
“Saya berharap pakej hotel Rahmah ini dapat diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai pengusaha hotel di seluruh Malaysia, dalam usaha merancakkan industri pelancongan,” tambahnya lagi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
