1.6 juta kemas kini maklumat dalam sistem pangkalan data kerajaan takat semalam

24 Jan 2024 • 12:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Hanya 1,613,454 individu daripada 30.08 juta orang yang didaftarkan, telah mengemas kini maklumat mereka dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat semalam.

Menurut maklumat dikongsikan dalam Facebook rasmi Padu, sejak dilancarkan 2 Januari lalu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi kemas kini maklumat Padu dengan 292,534 orang, diikuti Sarawak (201,399), Johor (164,235), Perak (133,369), dan Sabah (124,375).

Padu dalam hantaran berasingan turut memaklumkan bahawa penjawat awam diminta mengemas kini maklumat dan data dalam sistem Padu selewat-lewatnya 15 Februari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Padu berkata sistem itu antara lain bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan bagi memudahkan pengumpulan, penyimpanan, dan pengurusan data dari pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah lebih baik dan efisien kepada rakyat.

Orang ramai yang ingin membuat pengemaskinian Padu boleh ke pautan www.padu.gov.my.

– BERNAMA