
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memasuki hari kelima semalam, berjalan lancar dengan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM106.1 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat 9.30 malam tadi.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya berkata, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.5%, selaras dengan prestasi yang dicatatkan semalam.
“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang empat hari lepas telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang dicapai pada hari ini,” katanya.
Sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos lepas, lebih 6.6 juta rakyat atau 30% daripada jumlah penerima telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA.
Ia merekodkan jumlah perbelanjaan keseluruhan mencecah RM425.2 juta di seluruh negara.
Menurut MOF, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Penghargaan SARA merupakan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Inisiatif itu memberi memanfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahman (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara. - 5 September, 2025
The post 1.7 juta tebus SARA semalam, rekod perbelanjaan keseluruhan RM425.2 juta appeared first on Scoop.
