1,746 KIR N.Sembilan keluar daripada status miskin tegar setakat Oktober

6 Nov 2023 • 4:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Sebanyak 1,746 daripada 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR) di Negeri Sembilan direkodkan berjaya keluar daripada status miskin tegar setakat Oktober lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar).

Beliau berkata selaras dengan sasaran kerajaan Persekutuan menoktahkan kemiskinan pada tahun ini, pihaknya akan meningkatkan usaha bagi memastikan baki KIR yang masih tergolong dalam status miskin tegar dapat diselesaikan segera menerusi kerjasama pelbagai agensi awam.

“Saya telah mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat berkala, mungkin seminggu sekali hingga akhir tahun ini, kolaborasi pelbagai agensi diharapkan mempercepat proses membantu KIR keluar daripada status miskin tegar.

“Usaha ini melalui bantuan dan projek yang dapat meningkatkan pendapatan mereka, sebagai contoh kerjasama Baitulmal negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra membantu golongan sasaran ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Aminuddin sekiranya terdapat perkara membelenggu golongan miskin tegar yang sukar diselesaikan, kerajaan negeri akan memastikan golongan berkenaan mendapat bantuan sewajarnya supaya usaha mencapai sifar miskin tegar dapat direalisasikan.

Sementara itu, Aminuddin berkata Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) melaporkan terdapat empat projek pembangunan fizikal dikesan disenaraikan dalam kategori projek lewat jadual atau sakit yang melibatkan tiga kementerian.

Beliau berkata dua daripadanya membabitkan projek Kementerian Kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Tampin (jenis dua) dan pusat pakar pergigian di Seremban selain Kompleks Sukan Gemas, Tampin (Kementerian Belia dan Sukan) dan kerja naik taraf Muzim Diraja Istana Lama Seri Menanti (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).

Menurutnya antara isu dibangkitkan akibat kelewatan projek ialah kontraktor mempunyai masalah kewangan, kekurangan pekerja, kegagalan mematuhi program dirancang dan pengisian program di muzium masih belum selesai.

“Secara keseluruhan 15 projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di negeri ini dikenal pasti sebagai projek sakit, bagaimanapun 11 daripadanya berjaya dipulihkan melalui tindakan proaktif PPN di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” katanya. -Bernama