
KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan bahawa sebanyak 1,875 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lain perlu memulangkan semula dana awam yang dikesan berlaku ketirisan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, semua jabatan dan organisasi awam tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan apabila laporan LKAN diterbitkan oleh pihaknya.
“Tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) mengesan beberapa ketirisan yang pada akhirnya akan dikutip semula sama ada dalam penyata kewangan negeri atau penyata kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Malah, kita juga mengaudit badan berkanun dan 1,875 syarikat berkaitan kerajaan, dan apabila kita mengesan ketirisan berlaku sama ada yang tidak dikutip, tidak diterima atau seumpamanya kita akan pastikan tindakan susulan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Royale Chulan, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad.
Wan Suraya berkata, dalam proses ini, pihaknya bukan sekadar mahu hasil dipulangkan semula, malah turut meneliti sama ada wujud ketidakteraturan serius atau isu-isu tadbir urus.
Dalam pada itu, katanya, JAN juga sedang meneroka teknologi baharu bagi mengesan penipuan sejajar dengan trend yang semakin kompleks dan berkembang.
“JAN sedang menjalani proses pendigitalan di mana hampir semua audit kini dijalankan secara digital.
“Kami juga sedang meneroka bagaimana teknologi baharu boleh digunakan untuk mengesan penipuan, terutamanya penipuan yang kompleks dan baharu muncul. Ini telah menjadi sebahagian daripada proses kerja kami yang sedang berjalan,” ujarnya.

