
KUALA LUMPUR - Satu daripada setiap empat kanak-kanak di Malaysia secara tidak sengaja terdedah kepada kandungan seksual atau tidak senonoh dalam talian.
Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei, Robert Gass berkata, risiko melibatkan kandungan digital semakin membimbangkan, dan senario seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Menurut beliau, dianggarkan 100,000 kanak-kanak di negara ini menjadi mangsa eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun.
“Itu bersamaan dengan seorang kanak-kanak di setiap bilik darjah,” katanya.
Gass mendedahkan, laporan global melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) melonjak 125 kali ganda dalam enam bulan pertama tahun ini kepada 440,000, berbanding 7,000 pada 2024.
Beliau memberi amaran, kes pemerasan seksual juga turut mencatatkan peningkatan ketara, yang menyaksikan kanak-kanak diperdaya atau dipaksa untuk berkongsi imej intim sebelum diugut.
“Imej yang dijana AI sering digunakan dalam kes-kes ini,” katanya pada pelancaran Forum ICT ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak di sini hari ini.
Gass berkata, mesyuarat serantau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar.
“Ia menyediakan platform kepada kerajaan, industri dan belia untuk bekerjasama membentuk masa depan keselamatan digital.
“Matlamatnya ialah untuk memastikan hak, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam setiap ekosistem digital. Teknologi menawarkan peluang luar biasa untuk kanak-kanak belajar, berkarya dan berhubung,” katanya.
Beliau menarik perhatian, kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan, sambungan berkelajuan tinggi dan akses digital yang meluas kini berupaya melanggar batas undang-undang undang-undang serta perlindungan peraturan yang diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.
“Ia mewujudkan pelbagai bentuk bahaya baharu dan yang semakin meruncing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid ketika mengulas Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Kebangsaan (2026–2030) berkata, dasar tersebut dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Katanya, dasar itu yang dilancarkan pada forum berkenaan hari ini bertujuan memastikan kesejahteraan holistik, kelangsungan hidup dan penyertaan semua kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
“Malaysia komited memperkukuh pendekatan seluruh kerajaan dalam melindungi kanak-kanak dalam talian dengan meningkatkan kerjasama rentas sempadan, bekerjasama rapat dengan industri teknologi sebagai rakan strategik, memperkasakan keluarga, guru dan komuniti, serta membina keyakinan dan ketahanan digital dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Tegas beliau, usaha berkenaan bukan sekadar mengehadkan penggunaan internet, tetapi mahu mewujudkan persekitaran digital yang selamat untuk kanak-kanak meneroka, belajar dan meluahkan diri dengan yakin.
“Dasar ini juga menangani cabaran semasa termasuk risiko keganasan, pengabaian, eksploitasi, isu kesihatan mental, jurang digital dan ancaman keselamatan dalam talian,” katanya.
Getaran difahamkan, dasar terbabit turut menekankan aspek keselamatan siber melalui pendidikan literasi digital, kerjasama dengan industri teknologi dan penjajaran undang-undang dengan piawaian antarabangsa. - Getaran, 18 November 2025




