10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang, PM bincang penyelesaian ketika kunjungan Presiden Min Aung Hlaing

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 11:27 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: 10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang, PM bincang penyelesaian ketika kunjungan Presiden Min Aung Hlaing

KUALA LUMPUR - Seramai 10,000 tahanan warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal mereka sejak Januari tahun ini menerusi laluan udara dan laut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, penghantaran pulang itu dilakukan menerusi rundingan dan ikhtiar secara terus dengan pihak berkuasa Myanmar dengan syarat ia mesti membawa pulang rakyat Myanmar dan tidak berlaku perlanggaran hak asasi kemanusiaan.

Jelas beliau, proses penghantaran pulang tahanan berkenaan dilaksanakan secara sukarela dengan persetujuan individu terbabit menerusi dokumen rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjamin keselamatan serta hak asasi mereka.

“Dalam kunjungan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia dalam ‘beberapa hari akan datang’ sudah tentu saya sendiri akan membangkitkan isu ke arah penyelesaian, saya faham kegelisahan antarabangsa termasuk hak asasi manusia dan teguran rakan-rakan di Parlimen dan di luar Parlimen.

“Namun sudah tentu syarat yang kita kemukakan ialah mesti bawa pulang rakyat Myanmar dan mesti jamin layanan munasabah supaya tiada penderaan, tekanan atau pencabulan hak asasi manusia,’’ katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar termasuk pelarian dan pemohon suaka khususnya etnik Rohingya di negara ini.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik kedua-dua negara.

Susulan itu, fasa pertama program penghantaran pulang dilaksanakan pada 29 September lepas melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia merupakan negara pertama yang berjaya menghantar pulang tahanan warga Myanmar ke negara asal mereka menerusi pendekatan rundingan serta diplomatik secara berkesan.

"Setakat saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata penghantaran pulang tahanan warga Myanmar itu tidak hanya melibatkan etnik Rohingya, tetapi juga membabitkan etnik Arakan, Karen dan Shan.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu kedudukan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pengeluaran kad pelarian di negara ini, Anwar berkata penglibatan badan itu merupakan isu legasi yang diperkenalkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Sebarang usaha untuk meminda peraturan sedia ada, ujar beliau, memerlukan proses rundingan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tindakan Malaysia dilihat sentiasa mematuhi dan tidak mengetepikan piawaian serta peraturan antarabangsa.

Namun, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan usaha menghantar pulang tahanan warga Myanmar atau pentadbiran negara diatur oleh pihak lain mahupun pegawai dari luar.

"Urusan negara kita harus dikendalikan oleh jentera kita sendiri dan tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar untuk menentukan siapa yang layak atau tidak layak," katanya.

Mengulas mengenai soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkaitan perniagaan haram dikendalikan warga asing, Anwar menegaskan agensi penguatkuasaan akan mengetatkan kawalan dan tidak teragak-agak membatalkan lesen perniagaan warga tempatan yang didapati disewakan kepada warga asing. - 6 Oktober, 2026

The post 10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang, PM bincang penyelesaian ketika kunjungan Presiden Min Aung Hlaing appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved