10,036 pesakit berdepan kegagalan organ

LocalHealth & Fitness
3 Nov 2026 • 10:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 10,036 pesakit berdepan kegagalan organ

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,036 pesakit di negara ini sedang berdepan kegagalan organ setakat 15 Oktober lalu, sekali gus menuntut reformasi menyeluruh ekosistem pendermaan organ dan transplan bagi meningkatkan peluang mereka mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keperluan itu semakin mendesak memandangkan kadar pendermaan organ selepas kematian masih rendah, iaitu hanya 1.33 penderma bagi setiap sejuta penduduk.

Beliau berkata, penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan (MTK) ialah langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus dan memacu agenda nasional pendermaan organ menerusi pendekatan seluruh kerajaan, sekali gus mengatasi kelemahan pelaksanaan secara silo atau berasingan antara agensi.

“Melalui MTK, kita mencipta sinergi rentas kementerian yang belum pernah berlaku sebelum ini. Kita menggembleng logistik udara kecemasan menerusi Mercy Flight oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Pertahanan, dengan iringan pantas Outrider Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan kelewatan masa.

“Malah, kita sedang meneliti cadangan mengintegrasi status pengikrar organ terus pada lesen memandu bersama Kementerian Pengangkutan, disokong rantaian pembiayaan mampan Kementerian Kewangan serta panduan hukum agama yang jelas dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Dzulkefly turut memaklumkan, beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama MTK petang semalam.

Beliau berkata, reformasi berkenaan akan membawa tiga manfaat utama kepada rakyat, termasuk memastikan pengagihan organ dilaksanakan dengan lebih telus dan saksama berasaskan keutamaan klinikal.

Selain itu, katanya, masyarakat dapat melaksanakan hasrat menderma organ dengan lebih yakin kerana setiap proses tertakluk kepada Akta Tisu Manusia 1974 serta ketetapan fatwa agama secara ketat.

“Ketiga, rantaian logistik bersepadu ini memastikan organ tiba secepat mungkin ke bilik bedah,” katanya.

Dzulkefly berkata, KKM akan terus memperkukuh kempen kesedaran menerusi pendekatan “Warisku, Hormati Ikrarku” bagi memastikan hasrat penderma terus dihormati, termasuk oleh ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, menghormati ikrar penderma serta menyantuni harapan pesakit yang sedang menanti pemindahan organ merupakan amanah bersama yang perlu dipikul seluruh masyarakat. – BERNAMA

The post 10,036 pesakit berdepan kegagalan organ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved