10,726 pesawah terima pampasan Skim Takaful Tanaman Padi

LocalBusiness & Finance
7 Mar 2026 • 10:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) mengiringi Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan STTP kepada pesawah di Ayer Hitam, Jerlun pada Sabtu.

JERLUN - Seramai 10,726 pesawah seluruh negara telah menerima pampasan berjumlah RM24.6 juta setakat ini di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sejak ia diperkenalkan pada September 2024.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim ini dirangka khusus bagi membantu pesawah yang mengalami kerosakan atau kerugian tanaman akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

“Skim ini menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi kerugian akibat bencana alam, manakala kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman diberi perlindungan sehingga RM1,500 sehektar semusim.

“Selain memberi bantuan kewangan, skim ini juga membantu pesawah meningkatkan daya tahan menghadapi risiko luar jangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya kepada media di Ayer Hitam di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Tengku Ahmad Badli Shah hadir pada majlis penyampaian sumbangan STTP yang turut dihadiri pemimpin peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Hadir sama Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengurus Besar MADA, Zulkifli Romli

Pada majlis itu, seramai 10 pesawah daripada Kedah dan Perlis menerima sumbangan yang melibatkan kos lebih RM507,000.

Beliau turut menasihatkan pesawah untuk mendaftar melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan membuka akaun Agrobank bagi memudahkan tuntutan pampasan.

“Perlindungan seperti ini penting terutamanya ketika musim tengkujuh dan risiko banjir yang tidak menentu. Persediaan awal amat penting untuk memastikan kelangsungan sumber pendapatan pesawah terus terpelihara.

“Agrobank komited memperkasa sokongan kepada pesawah supaya sektor penanaman padi negara kekal mampan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.

View Original Article