KUALA LUMPUR - Seramai 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan di sebuah kilang sisa elektrik dan elektronik (e-waste) Tasik Gelugor Pulau Pinang pada Rabu.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua mereka berusia 30 hingga 40 tahun bertugas di Batalion 2 PGA Kulim Kedah.
“Saya sahkan ada tangkapan kes masih dalam proses siasatan, pegawai penyiasat dari pihak polis negeri akan mengambil tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Muhammad berkata, anggota yang ditahan terdiri daripada pelbagai pangkat, daripada konstabel hingga inspektor.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan jenayah," katanya.
Muhammad berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu dikendalikan polis Pulau Pinang.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran lanjut mengenai laporan tangkapan. Difahamkan kesemua individu itu direman sehari bagi membantu siasatan.






