
Seramai 23 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terlibat dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin berkata, antara kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota adalah seperti salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.
10 diberhentikan manakala 13 yang lain dikenakan tindakan tatatertib
Menurutnya, daripada 23 orang, seramai 10 anggota telah dipecat kerana terlibat dalam kegiatan jenayah.
Selain itu, majoriti anggota SPRM yang dikenakan tindakan merupakan aggota baharu yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.
“Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil, iaitu 0.3% daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.
“SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
JKA ditugaskan memantau cara SPRM mengendalikan aduan
Menurutnya lagi, JKA yang merupakan satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009 menggalas tanggungjawab memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawainya.
Asariah berkata, JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.
“Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru merupakan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Asariah turut berpendapat bahawa SPRM telah melakukan tanggungjawabnya dengan cemerlang bagi memupuk sifat integriti dan tata Kelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.
Source:

