Tahun 2024 melihat misi untuk kembali ke bulan mengambil beberapa langkah ke belakang disebabkan beberapa isu kelewatan Boeing dan SpaceX. Tetapi NASA masih boleh berbangga dengan kejayaan ujian sistem pemindahan rentas planet yang berjaya diuji. Agensi angkasa China, India dan swasta juga mencatatkan sejarah masing-masing menunjukkan perang untuk kembali ke angkasa lepas kini bermula semula demi menjaga maruah negara masing-masing.

1.Misi Artemis Menghantar Manusia Ke Bulan Ditangguh ke 2027

NASA telah mengumumkan Misi Artemis III yang pada asalnya dijadualkan pada tahun 2026 kini telah ditangguh ke pertengahan 2027. Pada waktu yang sama misi Artemis II yang menghantar angkasawan mengelilingi bulan ditangguh dari September 2025 ke April 2026. Penangguhan dilakukan bagi memastikan kapsul Orion dapat disiapkan sepenuhnya sebelum krew manusia boleh dihantar.
Misi Artemis I telah berjaya dilakukan pada tahun 2022 dengan ia sekadar mengandungi tiga patung yang diberi nama Commander Moonikin Campos, Helga dan Zohar. Ketiga-tiga patung dilengkapi sensor radiasi, sistem bekalan oksigen dan sistem tekanan yang memastikan angkasawan manusia boleh melakukan misi dengan selamat kelak.
Sejak dari awal Misi Artemis berhadapan pelbagai isu seperti roket SLS yang ditangguh beberapa kali, kapal angkasa Orion tidak dapat disiapkan dan juga kegagalan ujian kapal angkasa Starship oleh SpaceX.
2.Rekod Dunia Baharu 19 Angkasawan Di Angkasa Lepas Serentak

Pada tahun 1961, kosmonot Yuri Gagarin menjadi manusia pertama berjaya ke angkasa lepas. Ini memulakan perang angkasa lepas antara USSR dan Amerika Syarikat yang secara tidak langsung memacu pembangunan teknologi komputer, roket, sains, aeroangkasa dan semikonduktor. Pada 12 September lalu, rekod dunia baharu dicatatkan selepas 19 angkasawan mengelilingi bumi secara serentak.
Ini memintas rekod 17 angkasawan serentak yang dicatatkan pada tahun 2023. Ketika rekod dicatatkan ISS menempatkan 12 orang angkasawan iaitu Don Pettit, Alexey Ovchinin, Ivan Vagner, Michael Barratt, Tracy Caldwell-Dyson, Matthew Dominick, Jeanette Epps, Barry Wilmore, Suni Williams, Nikolai Chub, Alexander Grebenkin, Oleg Kononenko, Barry Wilmore dan Suni Williams.
Sementara itu 3 taikonaut China – Li Cong, Li Guangsu dan Ye Guangfu kini berada di Stesen Angkasa Tiangong. Akhir sekali 4 angkawan SpaceX – Jared Isaacman, Scott Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon mengorbit bumi dalam kapal angkasa Crew Dragon bagi menjalani misi Polaris Dawn. Polaris Dawn juga menjadi misi swasta pertama berjaya melakukan aktiviti di luar kapal angkasa (EVA).
3.NASA Berkongsi Pelan Bagaimana Stesen Angkasa Antarabangsa Akan Dinyahorbit

Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan dinyahorbit pada tahun 2031 setelah beroperasi sejak 1998. SpaceX telah diberikan kontrak membina Kenderaan Nyahorbit Amerika Syarikat (USDV) yang akan digunakan untuk menolak ISS keluar daripada orbit dan terhempas di Point Nemo.
Julai lalu, NASA mendedahkan pelan bagaimana proses nyahorbit akan dilakukan. Pertama sekali USDV hanya sebuah kapsul SpaceX Dragon yang diubahsuai dengan lebih banyak bahan api dan daya tujahan lebih tinggi. NASA akan melabuhkan USDV ke ISS 18 bulan sebelum nyahorbit dilakukan. ISS kemudiannya akan diturunkan dari orbit asal 400 km daripada permukaan bumi secara berperingkat sehingga 2031.
USDV akan memberikan tolakan terakhir untuk ISS kembali ke bumi dan hancur disebabkan oleh rintangan udara. NASA dan rakan program ISS hanya akan membawa pulang sebahagian komponen ISS sebagai peringatan generasi depan. Tetapi seperti Skylab, sebahagian besar komponen ISS akan dibiarkan musnah terbakar.
4.NASA Berjaya Hantar Isyarat Komunikasi Laser Sejauh 226 Juta KM

MSistem komunikasi angkasa lepas berasaskan laser Deep Space Optical Communication (DSOC) mencatatkan satu lagi sejarah apabila ia berjaya menghantar data ke bumi dari jarak 226 juta kilometer pada 8 April lalu. Ini adalah lebih 7 kali ganda lebih jauh berbanding rekod 31 juta kilometer yang berjaya dicatatkan pada Disember tahun lalu.
Kali ini data daripada kapal angkasa Psyche yang membawa DSOC berjaya dihantar semula ke bumi pada kelajuan 25 Mbps. Ini juga adalah kelajuan yang di luar jangkaan NASA yang hanya mengharapkan kelajuan 1 Mbps pada ujian yang dijalankan.
Sistem komunikasi radio yang digunakan sekarang mempunyai kelajuan penghantaran data pada kadar 5.2 Mbps sahaja yang terlalu perlahan untuk keperluan komunikasi antara bumi dan koloni Marikh di masa hadapan. DSOC ingin meningkatkan kadar penghantaran data antara 10-100 kali ganda bagi membolehkan perhubungan video masa nyata dan penghantaran data besar dengan lebih pantas.
5.Angkasawan Rusia Memecahkan Rekod Paling Lama Di Angkasa Lepas

Pada 24 September lalu, Oleg Kononenko (59) secara telah menghabiskan 1,111 hari di angkasa lepas secara terkumpul. Angkasawan Rusia ini memintas rekod yang dipegang oleh Gennady Padalka yang menghabiskan 878 hari, 11 jam, 29 minit dan 48 saat di angkasa lepas. Kononenko mencatatkan rekod angkasa lepas ini dalam misi ke-lima beliau di ISS selepas kali pertama melawatnya pada tahun 2008.
Rekod yang dipegang oleh Kononenko dijangka kekal untuk tempoh yang lama kerana Rusia tidak mempunyai perancangan melakukan misi jangka panjang di ISS selepas bertelagah dengan NASA serta sekutunya.
Valeri Polyakov, juga seorang angkasawan Rusia memegang rekod paling lama berada di angkasa lepas secara berterus. Beliau menghabiskan hampir 438 hari dalam kapal angkasa Mir pada tahun 1995. Misi tinggal di angkasa lepas untuk tempoh yang lama dilakukan oleh Rusia bagi melihat kesannya ke atas tubuh manusia. Seperti yang kami pernah laporan sebelum ini, antara impak yang dikesan ialah jirim putih otak mengecut dan kemusnahan 54% sel darah merah yang lebih tingi berbanding di bumi.
6.SpaceX Akhirnya Berjaya Melancarkan Starship

SpaceX akhirnya berjaya melancarkan kapal angkasa Starship pada percubaan ketiga Mac lalu. Seperti dua percubaan sebelum ini, Starship dilancarkan dari Boca Chica Texas. Starship berjaya dipisahkan daripada roket Super Heavy yang digunakan dengan ia tiba ke orbit yang disasarkan.
Dalam dua percubaan sebelum ini Starship meletup dan hilang hubungan dengan pusat kawalan SpaceX sehingga terpaksa diletupkan. Sepanjang 2024, Starhip berjaya dilancarkan empat kali dengan pelancaran ketiga berjaya melakukan misi ia ditangkap semula menggunakan mekanisme kayu pengapit.
Walaupun kejayaan berjaya dicapai, SpaceX masih lagi lewat dalam memenuhi perancangan asal. Akibatnya seperti yang telah kami nyatakan di atas, Misi Artemis III yang menggunakan Spaceship telah ditangguh ke 2027.
7.Misi Ke Marikh Mungkin Mustahil Dan Ini Semua Salah Ginjal

Elon Musk pernah berkata manusia akan tiba ke permukaan Marikh menjelang tahun 2025. Ini masih belum berlaku lagi kerana teknologi yang diperlukan belum lagi dicipta. Tetapi agensi angkasa lepas China, Rusia dan Amerika Syarikat masing-masing mempunyai perancangan tersendiri untuk menghantar angkasawan mereka ke planet Merah dalam tempoh satu generasi sahaja lagi. Tetapi kesemua harapan mungkin tidak akan dicapai kerana kelemahan ginjal manusia.
Saintis dari University College London menerbitkan kajian kesan graviti mikro dan pendedahan kepada radiasi kosmik galaktik (GCR) ke atas ginjal angkasawan. Berdasarkan data kesihatan ginjal tikus dan angkasawan yang pernah tinggal lama di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), penyelidik mendapati terdapat risiko kerosakan kekal pada ginjal apabila melakukan pengembaraan ke Marikh.
Mikrograviti menyebabkan angkasawan mengalami masalah batu karang kerana tubuh memproses garam dan kalsium secara berbeza berbanding di bumi. Apabila simulasi pendedahan kepada radiasi Marikh antara 1.5 hingga 2.5 tahun dilakukan ke atas tikus, kerosakan kekal dikesan pada ginjal sehingga ia gagal berfungsi.
Masih terdapat masa untuk mencari penyelesaian kepada dua masalah ini. Sekiranya tidak, mungkin antara alat yang perlu dihantar ke Marikh ialah mesin dialisis dan ginjal gantian kerana manusia tidak boleh hidup tanpa ginjal.
8.Bilionwan Jepun Batalkan Misi Mengelilingi Bulan Kerana Kelewatan SpaceX

Bilionwan Jepun Yusaku Maezawa mengumumkan misi Dear Moon Project yang ingin membawa lapan individu mengelilingi bulan telah dibatalkan. Ini adalah kerana misi yang sepatutnya dilakukan pada tahun 2023 telah mengalami kelewatan disebabkan kapal angkasa Starship masih lagi di tahap ujian sehingga ke hari ini.
Misi ini mendapat perhatian ramai kerana ia adalah misi terawal menggunakan Starship diumumkan oleh Elon Musk dan Yusaku Maezawa pada tahun 2018. Antara individu yang terpilih menjadi krew pula ialah DJ Steve Aoki dan bintang KPOP TOP (Choi Seung Hyun). Maezawa berkata keputusan membatalkan misi terpaksa dilakukan kerana kini tidak ada tarikh bilakah ia akan dapat dilancarkan.
9.NASA Membangunkan Sistem Rel Terapung Di Permukaan Bulan

Sebelum Marikh boleh diteroka, bulan akan menjadi lokasi eksperimen markas manusia di angkasa lepas. Misi Artemis ke bulan diharap menjadi batu loncatan untuk manusia akhirnya tinggal selain daripada di bumi. Untuk menyokong penempatan di bulan, NASA telah menyumbang dana kepada pembangunan sistem rel terapung di permukaan bulan.
Projek Flexible Levitation on a Track (FLOAT) ingin membangunkan sistem rel terapung yang tidak memerlukan manusia untuk beroperasi menjelang 2030. Rel untuk FLOAT hadir dalam bentuk gegelung yang dibuka apabila diperlukan. Robot-robot swapandu akan terapung menggunakan daya tolakan magnet dengan setiap satunya boleh membawa kargo sehingga 30 kilogram.
Dengan FLOAT sampel batuan dan galian bulan boleh dihantar ke markas untuk ujian secara swapandu. Ia juga akan digunakan untuk menghantar bekalan kargo dari tapak pendaratan ke markas.
10. China Ingin Lancarkan Misi Memesongkan Asteroid Seperti Filem Armageddon

Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) mengumumkan mereka turut akan melakukan misi memesongkan arah pergerakan asteroid pada tahun 2030. Sasaran CNSA ialah asteroid (NEO) 2015 XF261 yang berdiameter 30 meter. Walaupun boleh dianggap kecil, sekiranya asteroid sebesar ini menghentam bumi ia boleh mendatangkan kerosakan yang besar seakan ledakan bom atom.
Dalam misi yang akan dilakukan kelak, sebuah proba akan menghampiri (NEO) 2015 XF261 sebelum melancarkan penghentam kinetik ke permukaannya. Proba kemudian akan kekal bersama asteroid ini antara 6-12 bulan untuk melihat sama ada hala tujunya berubah daripada arah asal. Selain itu misi ini juga mempunyai misi sekunder untuk menganalisa komposisi asteroid dan apakah yang terhasil selepas ia dihentam.
Misi China ini mirip dengan satelit DART dihempas ke permukaan asteroid Dimorphos pada tahun 2022 dan berjaya mengubah arah asteroid sebesar stadium ini. Perbezaan hanya NASA menghempaskan terus DART sebesar peti ais ke permukaan asteroid.



