Apakah yang menarik dalam dunia senibina sepanjang 2024? Jawapannya semakin banyak projek ultra mega diumumkan dan dimulakan pembinaannya di Arab Saudi. Terdapat perlumbaan untuk membina bangunan terbesar, tertinggi, terpanjang dan paling dalam di negara tersebut. Tetapi terdapat juga beberapa projek lain di lokasi lain seluruh dunia contohnya ialah pembukaan bangunan kedua tertinggi dunia di Kuala Lumpur pada Januari lalu. Ini senarai 10 berita senibina paling menarik 2024.

1.Bangunan Kedua Tertinggi Dunia Merdeka 118 Dibuka Secara Rasmi

Bangunan Merdeka 118 akhirnya telah dibuka secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada awal Januari. Ia kini memegang status sebagai bangunan kedua tertinggi dunia dengan ketinggian 678.9 meter dan mempunyai 118 tingkat. Sebagai perbandingan menara tertinggi dunia Burj Khalifa adalah setinggi 828 meter dan mempunyai 163 tingkat.
Ini juga bermakna Merdeka 118 ialah bangunan tertinggi di Malaysia melangkaui Exchange 106 (453.6 meter) dan tertinggi di Asia memintas Shanghai Tower (632 meter). Bangunan Merdeka 118 dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan ia mula dibina pada Julai 2014 dan siap pada penghujung 2023. Proses pembinaan tergendala disebabkan oleh pandemik menyebabkan ia dibuka lewat daripada tarikh awal 2022.
Ia mempunyai keluasan lantai 400,000 meter persegi yang menempatkan ruang pejabat, pusat membeli belah dan juga hotel. Kos pembinaannya pula adalah sekitar RM5 bilion.
2.Ladang Solar Terbesar Dunia Seluas 100,000 Padang Bola Dibuka Di China

Ladang tenaga solar terbesar dunia telah memulakan operasinya di Xinjiang, China pada Jun lalu. Ia mempunyai kemampuan output 5GW dan meliputi kawasan seluas 200,000 ekar dan menghasilkan 6.09 bilion kWh tenaga elektrik setiap tahun. Ini bersamaan hampir keluasan 100,000 padang bola sepak dan memenuhi 4% keperluan tenaga tahunan Malaysia.
Lokasi ladang adalah berhampiran Urumqi, ibu negeri Xinjiang di kawasan padang pasir. Rekod sebelum ini dipegang oleh kompleks solar Golmud Wutumeiren yang juga terletak di China dengan kemampuan 3GW. China ialah negara yang paling rancak membangunkan ladang solar bagi memenuhi sasaran menjadi negara karbon neutral menjelang 2060.
Ini juga adalah antara sebab mengapa China kini mendahului dunia dalam pengeluaran dan penggunaan EV. Ini adalah sebahagian usaha untuk menghilangkan label China sebagai negara pencemaran kerana menjadi kilang dunia sejak 1990an.
3.Bangunan 122 Tingkat Di Dubai Ini Akan Mempunyai Hutan Tropika Tertinggi Dunia

Hujan hujan tropika ialah suatu yang lazim bagi kita. Tetapi di tengah gurun kontang Dubai ia adalah pengalaman yang boleh diklasifikasikan sebagai eksotik. Tiger Sky Tower ialah sebuah menara 122 tingkap yang apabila siap kelak akan menempatkan hutan tropika tertinggi dunia.
Tiger Sky Tower sedang dalam proses pembinaan dengan ia menempatkan 849 tempat kediaman dalam bangunan setinggi 532 meter. Ini menjadikannya lebih tinggi berbanding Menara Berkembar Petronas yang setinggi 452 meter.
Platform hutan tropika akan diletakkan pada ketinggian 447 meter dengan ia turut akan menempatkan jambatan tergantung pada kanopi. Untuk menjadikannya semakin unik, Tiger Sky Tower juga akan menempatkan restoran dan juga kolam renang infiniti tertinggi di dunia. Pembinaan bangunan kediaman ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029.
4.Bangunan Bawah Tanah Paling Dalam Akan Dibina Di Arab Saudi

Tak puas dengan bangunan terpanjang dan tertinggi, Projek Aquellum di Neom Arab Saudi bakal menjadi “menara terbalik” paling dalam di dunia. Ruang kosong sedalam 100 meter akan menjadi tarikan di Aquellum yang dibina di atas permukaan laut.
Di bahagian atas terdapat ruang pejalan kaki dan marina yang terapung. Sementara di bahagian dalam terdapat hotel, panggung wayang, muzium dan makmal penyelidikan The Generator untuk menghasilkan idea baharu. Ruang legar yang besar di tengah-tengah Aquellum akan menjadi tarikan pelawat kerana tidak ada bangunan lain sepertinya wujud di dunia.
Firma LAVA and Name Architecture terlibat dengan projek yang belum diumumkan tarikh pembinaan serta bila ia dijangka siap. Pendek kata jika dahulu sekiranya anda ingin melihat projek senibina unik anda perlu pergi ke Dubai, kini anda hanya perlu pergi ke Neom.
5.Discovery City Ialah Bandar Futuristik Lestari Rekaan Zaha Hadid Di Johor

Johor sedang menikmati era kemajuan teknologi selepas beberapa pelaburan besar dilakukan oleh syarikat global seperti NVIDIA. Dengan terbentuknya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tahun lalu, semakin banyak pembangunan berasaskan teknologi akan diumumkan. Terkini Discovery City telah diumumkan oleh firma Zaha Hadid Architects dengan ia akan menjadi hab teknologi lestari.
Discovery City akan dibina di dalam kawasan seluas 582 ekar di dalam Ibrahim Technolopolis (IBTEC) seluas 7290 ekar. Ini adalah projek pertama firma terkemuka Zaha Hadid Architects di Malaysia yang mempunyai reputasi membina bangunan yang bukan sahaja futuristik tetapi memberikan tumpuan kepada pembangunan yang lestari.
IBTEC ialah bandaraya berbentuk bulat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM27 bilion apabila siap kelak. Kerana statusnya di bawah JS-SEZ, perjalanan pekerja dari Johor dan Singapura akan menjadi lebih mudah menggunakan sistem kod QR sekaligus menyelesaikan kesesakan yang dialami sekarang apabila menyeberangi tambak.
Projek akan melibatkan JLand Group Sdn Bhd sementara HIJJAS Architects and Planners menjadi arkitek projek tempatan dan AJM-Planning and Urban Design Group Sdn Bhd (APUDG) pula menjadi perancang induk tempatan.Tarikh bila projek Discovery City akan dimulakan dan dijangka siap masih belum diumumkan pada ketika ini.
6.Pembinaan Bangunan Kiub Terbesar Dunia Dimulakan Di Riyadh

Kita kembali semula ke Arab Saudi. Tahun lalu kami laporkan mengenai projek Mukaab yang menimbulkan kontroversi kerana bangunan berbentuk kiub gergasi ini dilihat sebagai penghinaan kepada kiblat suci umat Islam.
Walaupun projek menerima pelbagai reaksi negatif umat Islam global, pembinaan Mukaab telahpun dimulakan di Riyadh dua bulan lalu. Setakat ini sebanyak 10 juta meter padu tanah telah dialihkan bagi membina tapak asas Mukaab dengan ia melibatkan 900 orang pekerja.
Mukaab apabila siap kelak akan menjadi bangunan berbentuk kiub terbesar dunia dengan dimensi 400x400x400 meter. Ini adalah cukup besar untuk menempatkan 20 bangunan Empire State. Di dalam Mukaab yang bermakna kiub dalam Bahasa Arab terdapat sebuah menara yang akan menjadi tempat kediaman, membeli belah, pelancongan, dan perniagaan. Menara ini mempunyai keluasan lantai 2 juta meter persegi.
Menara ini akan dilitupi oleh skrin gergasi yang boleh memaparkan pelbagai pemandangan luar kerana Mukaab tidak mempunyai tingkap. Oleh itu pemandangan penduduk di dalam menara boleh diubah mengikut musim, masa dan cuaca.
7.Bangunan Kediaman Tertinggi Dunia Akan Dibina Di Brazil

Bangunan terpanjang dunia akan dibina di Arab Saudi dan dua bangunan tertinggi dunia pula akan terletak di Dubai. Tetapi rekod tertinggi bukanlah monopoli negara Timur Tengah. Senna Tower yang akan dibina di Brazil akan menjadi bangunan kediaman tertinggi dunia apabila ia siap kelak.
Senna Tower akan dibina di Santa Catarina, Brazil dengan ketinggian mencecah 500 meter. Keseluruhan bangunan akan menjadi tempat kediaman sahaja yang membezakannya dengan Burj Khalifa yang menempatkan hotel, pejabat dan juga pusat membeli belah.
Bangunan akan menjadi monumen kepada legenda F1 Ayrton Senna yang meninggal dunia pada tahun 1994 dengan ia direka oleh Lalalli Senna yang merupakan anak saudara mendiang. Ia bakal menempatkan 228 unit tempat tinggal dengan terdapat ruang khas yang menunjukkan pencapaian Ayrton Senna yang dibuka kepada orang ramai.
Bilakah bangunan akan dibina dan disiapkan masih belum diumumkan. Tetapi kos pembinaan dianggarkan akan mencecah BRL 3 billion (~RM 2.32 bilion).
8.Arab Saudi Ingin Membina Stadium Di Atas Bangunan Setinggi 350 Meter Untuk Piala Dunia 2034

Arab Saudi sudahpun disahkan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. Menarik sekali kerajaan Saudi ingin membina Stadium NEOM yang terletak pada ketinggian setinggi 350 meter di atas bangunan terpanjang dunia The Line dengan kapasiti melebihi 46,000 penduduk.
Stadium ini akan dibina pada tahun 2027 dan siap sepenuhnya menjelang 2032. Pembinaan fasa pertama The Line telahpun dimulakan dan dijangka siap pada tahun 2030. Kerana The Line ialah sebuah bandar dalam bangunan, pengangkutan ke stadium adalah menggunakan sistem rel terbina tanpa sebarang penggunaan kenderaan peribadi.
Stadium ini akan mempunyai bumbung tertutup yang menawarkan pengalaman permainan boleh sepa yang unik kerana sebelum ini tiada stadium pernah dibina di atas bangunan setinggi ini. Sumber kuasa akan dijana sepenuhnya menggunakan panel solar dan angin bagi menjadikannya stadium yang cukup lestari.
9.Kame Hame Habibi! – Taman Tema Dragon Ball Akan Dibuka Di Arab Saudi

Mac lalu dunia dikejutkan dengan kematian Akira Toriyama, mangaka terkemuka siri Dragon Ball. Beberapa minggu selepas pemergian beliau, pembinaan taman tema Dragon Ball di Arab Saudi telah diumumkan.
Taman teman ini akan dibuka di Qiddiya City dengan keluasan 500,000 meter persegi dan bakal mempunyai tujuh ruang yang bertemakan dunia Dragon Ball. Antara tarikan yang akan dibina ialah rumah Datuk Kame, planet Beerus dan bangunan Capsule Corporation. Watak-watak Dragon Ball daripada manga asal hinggalah siri animasi Dragon Ball Super akan dapat dilihat di sekitar taman apabila ia siap kelak.
Terdapat lebih 30 tarikan kesemuanya dengan lima daripadanya boleh dinaiki oleh pelawat. Sebuah patung Dewa Naga setinggi 70 meter juga akan dibina bagi melengkapkan pengalaman dunia Dragon Ball. Bilakah taman tema ini akan dibuka masih lagi belum diumumkan pada saat ini. Yang pasti peminat Dragon Ball pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan aksi kame hame habibi di Arab Saudi nanti.
10. Stadium Bola Sepak Terbesar Dunia Kelihatan Seperti Khemah Gergasi Bakal Dibina Di Maghribi

Maghribi akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 bersama Portugal dan Sepanyol. Pembinaan prasarana untuk acara sepak ini telahpun bermula dan Ogos lalu rekaan stadium bola sepak terbesar dunia diperlihatkan. Grand Stade Hassan II bakal mempunyai kapasiti 115,000 penonton membolehkan ia memintas Camp Nou yang boleh menempatkan 105,000 penonton.
Yang menjadikan stadium ini menarik ialah ia mengambil inspirasi daripada khemah perayaan Mawsim yang disambut penduduk Maghribi. Ia bukan sekadar elemen rekaan kosong tetapi akan menjadi kanopi yang akan melindungi penonton daripada sinar matahari yang panas. Stadium ini direka oleh firma senibina Oualalou + Choi.
Pembinaan sudahpun dimulakan dalam kawasan sebesar 100 hektar di El Mansouria berhampiran kota terkemuka Casablanca. Piala Dunia 2030 akan menggunakan 17 stadium tetapi Grand Stade Hassan II ialah satu-satunya stadium baharu yang akan dibina. Selepas acara ia digunakan oleh dua pasukan bola sepak liga Maghribi.


