10 Berita Senibina Paling Menarik 2025

WorldArchitecture
11 Dec 2025 • 2:26 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun 2025 ialah tahun penuh dengan laporan projek mega khususnya di Arab Saudi. Jika dahulu ia dikenali sebagai Bumi Ambiya, ia kini lebih dikenali sebagai lokasi senibina paling unik, melampau dan memecahkan rekod dunia. Di bawah ialah senarai 10 berita senibina paling menaik 2025.

image is not available

1.Projek King Salman Gate Mengelilingi Masjidil Haram Menambah Ruang Solat Untuk 900,000 Jemaah

image is not available

Masjidil Haram ialah masjid terbesar di dunia dengan sasaran ia mempunyai kapasiti menempatkan 2.5 juta jemaah menjelang 2030. Bagi memenuhi sasaran ini, Projek King Salman Gate diumumkan oleh Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz dengan ia bakal mempunyai ruang solat sehingga 900,000 jemaah.

King Salman Gate ialah projek pelbagai guna yang menempatkan tempat kediaman, hotel, pusat membeli belah, restoran dan pelbagai prasarana komersial. Ia terdiri daripada beberapa menara yang dibina bertentangan menaja jam tertinggi dunia, Makkah Tower. Ia mempunyai ruang lantai sebesar 12 juta meter persegi atau bersamaan 1680 padang bola sepak.

Kos pembinaan, ketinggian menara dan bilakah King Salman Gate akan siap dibina belum lagi diumumkan oleh PIF. Tetapi projek ini adalah antara yang diumumkan di bawah program Saudi Vision 2030 bernilai $196 juta (~RM 828 juta). Ia akan dibangunkan oleh RUA AlHaram AlMakki sebuah anak syarikat Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF). Dengan pembinaan projek mega ini, Arab Saudi berkata kelak mereka boleh menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah setahun di Kota Mekah.


2. Pembinaan Bangunan Terpanjang Dunia The Line Dilaporkan Bermasalah

image is not available
The Line- Hidden Marina

Dengan projek The Line di Neom, Arab Saudi ingin menjadi negara dengan bukan sahaja bangunan terpanjang tetapi terbesar pernah dibina dalam sejarah peradaban homo sapiens. Ia adalah buah fikiran batu jenama Putera Muhammad bin Salman dengan ia sepanjang 170km dan setinggi 500 meter.

Bulan lalu Financial Times melaporkan The Line sedang mengalami beberapa masalah besar yang akan menyebabkan projek akan dikecilkan daripada skala asal. Isu pertama ialah rekaan bangunan yang didapati tidak boleh direalisasikan kerana melanggar hukum fizik serta senibina.

Pembinaan fasa pertama The Hidden Marina sudah dimulakan dengan ia akan mempunyai pelabuhan kapal dan gerbang gergasi lengkap dengan lampu chandelier gergasi. Kerana saiznya yang mega, jurutera mendapati chandelier ini tidak boleh dibina kerana akan bergoyang sepanjang masa sehingga musnah dengan sendiri.

Kos asal bangunan juga kini dipercayai melonjak ke lebih $4.5 trilion daripada anggaran asal $1 trilion. Arab Saudi berharap pelaburan asing akan dapat menanggung sebahagian kos tetapi ia gagal dicapai.

Disebabkan kesemua isu di atas, perancangan asal membina 20 modul pertama sepanjang 16 km kini dikecilkan ke 3 modul sahaja. Ia akan menempatkan pelabuhan, tempat tinggal dan stadium tertinggi dunia yang akan digunakan untuk Piala Dunia Arab Saudi 2034 nanti.


3.China Memulakan Pembinaan Empangan Hidro Terbesar Dunia Dengan Output 300 Bilion kWh Setahun

image is not available
Empangan 3 Gaung

Pada Julai lalu, China memulakan projek pembinaan empangan hidroelektrik terbesar dunia di Sungai Yarlung Tsangpo, Tibet. Projek mega ini akan membekalkan kuasa elektrik sebanyak 300 bilion kWh setahun yang adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Empangan Tiga Gaung yang merupakan empangan hidroelektrik terbesar dunia sekarang dan hampir 10 kali ganda output kuasa kesemua empangan hidroelektrik di Malaysia.

Projek dilancarkan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang pada Sabtu dengan kos pembinaan dianggarkan mencecah 1.2 trilion Yuan (~RM 709 bilion). Masih tidak diketahui bilakah projek akan siap sepenuhnya. Walaupun dibina di China, kuasa elektrik yang dijana adalah untuk keperluan luar. Pembinaan empangan ini telah dirancang sejak 2020 dengan ia hanya diluluskan kerajaan pada Disember 2024.

Pembinaan empangan ini menimbulkan ketegangan diplomatik dengan India dan Bangladesh kerana Sungai Yarlung Tsangpo membekalkan air kepada Sungai Brahmaputra yang mengalir di kedua-dua negara. Wujud kerisauan China menyekat air ke Brahmaputra apabila empangan ini siap kelak.


4.Jesselton Docklands Ialah Projek Bertemakan Mesra Alam Di Kota Kinabalu

image is not available

Kota Kinabalu akan mempunyai tarikan baharu Jesselton Docklands dengan ia dibangunkan dengan beberapa ciri mesra alam. Jesselton Docklands dibina di lokasi sekitar 15 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan ia dibangunkan bagi menghidupkan semula kawasan pelabuhan lama sebagai hab budaya dan komuniti.

Projek direka oleh firma senibina Snøhetta dari Norway dengan ia mengambil inspirasi daripada perkampungan nelayan tempatan sambil mengintegrasikan elemen susun atur organik, pengudaraan dan tempat berteduh semula jadi. Antara elemen rekaan yang digunakan ialah bioswale yang menapis air hujan menggunakan tumbuh-tumbuhan serta penggunaan landskap untuk mengawal banjir khususnya semasa musim taufan.

Jesselton Docklands akan mempunyai lima zon iaitu The Bedrock, The Enclave, The Reef, The Tides dan The Holm. The Bedrock akan menempatkan ruang membeli belah dan juga hotel butik. The Enclave pula menempatkan terminal feri, hotel mewah dan taman. Dua menara di The Enclave mengambil inspirasi daripada puncak Gunung Kinabalu.

The Reef menempatkan plaza, taman terapung dan ruang awam. The Tides akan menjadi pelabuhan dan terminal untuk kapal persiaran. Akhir sekali ialah The Holm yang menempatkan kawasan perumahan dengan sungai dan juga sekolah.


5.Manchester United Memperlihatkan Rekaan Stadium Baharu Dengan Elemen Trisula Setan Merah

image is not available

Rekaan stadium baharu Manchester United telah diperlihatkan pada bulan Mac dengan ia menerapkan elemen trisula setan merah tertera pada logo kelab. Rekaan stadium dihasilkan oleh firma senibina terkemuka Foster + Partners. Apabila siap dibina kelak, ia boleh menempatkan sehingga 100,000 penonton. Ini adalah peningkatan daripada 74,000 penonton yang boleh ditampung Old Trafford.

Bahagian bumbung yang diangkat oleh tiga tiang seakan trisula setinggi 200 meter ini akan menjadi penghalang sinaran matahari panas dan juga menempatkan sistem menampung air hujan serta panel solar. Dengan ini kos operasi stadium dapat dikurangkan kerana keperluan tenaga elektrik dan air boleh dihasilkan sendiri.

Stadium ini akan dibina di tapak baharu berhampiran Old Trafford yang sudah berusia 115 tahun. Terdapat perancangan untuk mengubah Old Trafford menjadi sebuah stadium selepas kelab berpindah ke stadium baharu.

Kawasan persekitaran stadium juga akan dibangunkan semula menjadi tempat kediaman. Pembinaan stadium baharu ini dianggarkan sekitar £2 bilion (~RM 11.65 bilion) dengan proses pembinaan dijangka mengambil masa 5 tahun.


6.Jambatan Gantung Terpanjang Dunia Akan Dibina Di Itali

image is not available

Itali kini bersedia untuk memulakan projek pembinaan jambatan gantung terpanjang dunia yang bakal menyambungkan kepulauan Sicily dan Calabria yang terletak di Selatan Itali. Apabila siap menjelang 2032, Jambatan Selat Messina ini akan mempunyai bahagian rentang tergantung sepanjang 3,300 meter. Ini akan memintas rekod yang dipegang Jambatan 1915 Çanakkale di Turki yang mempunyai bahagian tergantung sepanjang 2,023 meter.

Kos pembinaan dianggarkan menelan €13.5 bilion (~RM 66.6 bilion) dengan ia akan mempunyai jalan raya enam lorong, landasan berkembar untuk kereta api dan dua lorong untuk kegunaan penyelenggaraan. Dua menara yang akan menampung berat jambatan adalah setinggi 400 meter.

Idea membina jambatan merentasi Selat Messina ini sudah wujud sejak zaman Rom tetapi kekangan teknologi menghalangnya daripada dibina. Jambatan biasa tidak boleh dibina kerana selat digunakan untuk tujuan perkapalan serta terletak di lokasi berlaku gempa bumi.


7.Arab Saudi Dilaporkan Akan Membina Bangunan Setinggi 2 Kilometer

image is not available
Imej pengolokan JEC Tower

Bangunan tertinggi dunia pada waktu ini ialah Burj Khalifa di Dubai dengan ketinggian 828 meter. Tetapi Jeddah Economic Company Tower (JEC Tower) dengan ketinggian akhir 1007 meter akan memintasnya apabila siap pada tahun 2028 nanti. Tetapi Mac lalu, muncul laporan sebuah bangunan setinggi 2 kilometer pula akan dibina di Riyadh yang akan membuatkan JEC Tower kelihatan bantut.

Menurut laporan MEED, pihak Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) telah mula menerima bidaan daripada syarikat pengurusan untuk membina menara 2 kilometer ini kawasan pinggiran Riyadh. Bangunan yang masih belum mempunyai nama ini direka oleh firma senibina terkemuka Foster & Partners. Ini selari dengan ura-ura menara lebih tinggi daripada 1 KM akan dibina di Riyadh yang mula didengari pada tahun 2022.

Sekiranya projek berjalan seperti dirancang, Riyadh akan menjadi bandaraya dengan bangunan tertinggi di dunia dan juga bangunan berbentuk kiub terbesar dunia menerusi projek Mukaab. Pembinaan Mukaab yang menerima nama jolokan “Kaabah Jahiliyah” sudahpun dimulakan tahun lalu dengan ia bakal mempunyai ketinggian 400 meter serta keluasan lantai 2 juta meter persegi.


8.Norway Membina Terowong Paling Dalam Di Dunia 390M Bawah Paras Laut

image is not available

Terowong bawah tanah paling dalam di Malaysia ialah Terowong SMART dengan ia terletak sekitar 20 meter di bawah paras laut. Ia merupakan terowong pertama di dunia berfungsi membawa kenderaan dan juga air hujan apabila diperlukan. Tetapi kedalaman Terowong SMART ini tidak dapat dibandingkan dengan projek Rogaland Fastforbindelse (Rogfast) yang sedang dibina di Norway.

Rogfast apabila siap kelak akan menjadi terowong bawah tanah untuk kenderaan paling dalam di dunia dengan ia terletak 390m di bawah paras laut. Ia turut menjadi terowong bawah tanah terpanjang dunia dengan panjang 27 kilometer.

Projek dibina bagi menyambungkan Randaberg, Bokn dan Kvitsøy yang kini dipisahkan oleh lautan. Penduduk yang selama ini bergantung kepada perkhidmatan feri bakal memendekkan perjalanan sebanyak 40 minit.

Projek ini sebenarnya telah dimulakan pada tahun 2018 tetapi tergendala kerana kekurangan dana. Ia sepatutnya dibuka menjelang 2025 tetapi kini tertangguh ke 2033. Kos keseluruhan projek pula mencecah NOK 25 billion (~RM 10.25 bilion).


9. Mesir dan Arab Saudi Ingin Membina Jambatan Merentasi Laut Merah

image is not available

Kejadian Nabi Musa A.S merentasi laut merah tercatat dalam kitab Taurat, Injil, dan Al Quran. Mukjizat beliau membolehkan Laut Merah dibelah untuk pengikut dan baginda melarikan diri daripada dikejar Firaun. Tiada manusia mempunyai mukjizat sekarang tetapi merentasi Laut Merah kelak boleh dilakukan antara Arab Saudi dan Mesir menggunakan sebuah jambatan.

Menteri Pengangkutan Mesir, Kamel al-Wazir dipetik mengatakan Arab Saudi dan Mesir dalam perbincangan membina jambatan menyambungkan kedua-dua negara. Beliau turut tidak menolak jika jambatan tidak dibina ia akan digantikan dengan terowong bawah laut.

Tiada pengumuman rasmi atau lokasi di mana jambatan ini akan dibina. Sebelum ini pelan membina jambatan pernah dicadangkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud tetapi tidak pernah diteruskan.

Besar kemungkinan ia akan dibina merentasi Selat Tiran berhampiran Teluk Aqaba bagi membolehkan Semenanjung Sinai di Mesir disambungkan terus ke The Line di NEOM yang sedang dibangunkan Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan. Di Selat Tiran, hanya sekitar 7 kilometer memisahkan kedua-dua negara ini.


10.Taman Tema Beast Land Dibuka Di Arab Saudi

image is not available

Selepas berjaya mendomimasi YouTube dan melancarkan rancangan TV di Prime Video, MrBeast kini terjun tiruk ke dalam arena taman tema pula. Beast Land telah dibuka di Riyadh pada bulan November, Arab Saudi dengan ia akan menawarkan tarikan menarik serta pelawat boleh menyertai pelbagai aktiviti untuk memenangi hadiah yang lumayan.

Beast Land terdiri daripada dua zon utama dengan Beast Land menawarkan dunia bertemakan MrBeast dilengkapi tarikan yang boleh dinaiki, ruang jualan produk MrBeast dan restoran. Zon kedua ialah Beast Zone dengan ia mempunyai pelbagai aktiviti seakan rancangan TV Beast Games.

Pelawat boleh menguji keupayaan mereka untuk memenangi pelbagai hadiah menarik serta lumayan dengan melakukan cabaran seperti dalam siri Beast Games dan kandung YouTube yang diterbitkan beliau.

Taman Tema ini akan dibuka pada 13 November sehingga 27 Disember 2025 sahaja. Lokasi Riyadh dipilih kerana ia adalah kerjasama MrBeast dengan Riyadh Season untuk menjadikan Arab Saudi destinasi pelancongan utama dunia.