Tahun 2024 terdapat banyak yang berlaku dalam arena teknologi. Ada yang baik dan ada juga yang tidak begitu bernasib baik. Apa-apa pun, kebanyakan yang dilancarkan atau diperkenalkan pada tahun ini semuanya sedikit sebanyak memberi impak kepada kita semua sebagai pengguna serta impak kepada negara dan dunia. Berikut adalah 10 berita teknologi paling penting 2024.

1. Skandal FashionValet

Skandal terbesar dunia teknologi Malaysia tahun ini pastinya kes melibatkan FashionValet. Tahun ini platform yang diusahakan oleh Vivy Yusof telah diambil oleh NXBT pada nilai yang jauh lebih rendah daripada nilai pelaburan Khazanah Nasional.
Menjadi perbualan orang ramai dan isu adalah apabila Kementerian Kewangan mengesahkan pelaburan Khazanah dan PNB pada Fashion Valet berjumlah RM47 Juta, dan dijual pada RM3.1 Juta. Khazanah dan PNB mengeluarkan kenyataan berasingan untuk menjelaskan pelaburan mereka dalam FashionValet. Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar kemudian memohon maaf dan memaklumkan bahawa mereka akan melepaskan jawatan masing-masing.
Isu kerugian pelaburan ini kemudiannya menjadi kes SKMM dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah menjalankan audit dalaman. Pada ketika ini aset kedua-dua pengasas FashionValet telah dibekukan dan kes akan disebutkan di mahkamah pada 22 Januari dengan pertuduhan jenayaj pecah amanah jenayah melibatkan dana pelaburan RM8 juta.
2. Kontroversi Rangkaian 5G Kedua Malaysia

Isu pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia turut menjadi bualan ramai kerana syarikat telekomunikasi termuda ini berjaya mengalahkan CelcomDigi dan Maxis. Ramai pemain industri memberikan kritikan menyatakan U Mobile mungkin bertindak sebagai kontraktor “Ali Baba”, di mana entiti tempatan menjadi perantara bagi kepentingan asing.
Isu melibatkan majoriti pegangan U Mobile bukan milik Malaysia tetapi Singapura menjadi bualan ramai kerana isu infrastruktur komunikasi penting negara dikuasai negara luar. Syarikat ini adalah Straits Mobile di bawah ST Telemedia. Berikutan kontroversi ini, Straits Mobile mengumumkan pengurangan pegangan saham ke 20%. U Mobile sebelum ini telah berkongsi mungkin bekerjasama dengan CelcomDigi dan Telekom Malaysia dalam pembangunan rangkaian 5G, disamping bekerjasama dengan Huawei untuk penawaran teknologi.
3. Peningkatan Kemampuan AI Generatif

Teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif menjalani beberapa peningkatan kemampuan besar tahun 2024 . Antara yang menarik ialah OpenAI Model o3 dengan kemampuan penaakulan iaitu berfikir sendiri bagi memberikan jawapan. Kemudian adalah OpenAI Sora yang boleh menjana video yang kelihatan jauh lebih realistik berbanding beberapa model terdahulu. Google turut mempunyai model dengan kemampuan lebih kurang sama iaitu Gemini 2.0 dan juga Project Astra sebagai konsep pengkomputeran masa hadapan. Tidak lupa yang Google Veo 2 turut diperkenalkan bagi bersaing dengan Sora.
Walaupun dunia kecerdasan buatan generatif semakin berkembang pesat, di sebalik pembangunannya terdapat juga pergolakan sebalik tabir yang berterusan dari tahun lalu. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada OpenAI dimana hanya 3 daripada 11 pengasas masih kekal dengan syarikat. Salah seorang pengasas OpenAI dan juga ketua saintis iaitu Ilya Sutskever (yang terlibat dengan pemecatan Sam Altman tahun lalu) turut meninggalkan syarikat bagi membangunkan syarikat baharu SSI yang menjanjikan pembangunan AI lebih selamat.
Bercakap mengenai perkara yang tidak dijangka, satu model AI baharu iaitu Model Geospatial Raya (LGM) turut telah diperkenalkan. Ia adalah sistem AI yang memahami visual dan lokasi dalam sebuah peta 3D berdasarkan data dari jutaan pemain Pokemon Go dan Ingress.
4. Annus Horribilis Untuk Intel

Intel ialah jenama gah yang sangat sinonim dengan PC dan pada suatu ketika juga pada Mac. Namun tahun lalu mereka ditimpa satu demi satu nasib Malang. Isu paling besar ialah kerosakan cip Intel Core Gen-13 dan Gen-14 disebabkan oleh voltan tinggi. Kerosakan kekal menyebabkan Intel memanjangkan tempoh jaminan cip kepada pembeli.
Ini diikuti pula pembuangan lebih 15,000 pekerja, pembatalan kilang di Eropah dan mengecilkan skala kilang mereka di Pulau Pinang bagi menstabilkan semula kewangan syarikat. Kemuncak nasib malang Intel ialah CEO mereka Pat Gelsinger dipaksa bersara secara mengejut sekiranya tidak mahu dipecat. Antara calon CEO baharu ialah Lip-Bu Tan yang dilahirkan di Johor. Nasib yang melanda Intel ini mengukuhkan lagi kepercayaan dalam dunia teknologi di mana tiada syarikat yang terlalu besar untuk gagal.
5. Nilai Tertinggi Bitcoin Menggembirakan Pelabur Kripto

Tahun lalu kegagalan NFT dan skandal melibatkan FTX, Binance dan Terraform Labs menyebabkan nilai kripto menjunam. Tidak kira anda adalah seorang bro kripto atau hanya pelabur biasa, tahun ini ialah tahun gembira kerana nilai tertinggi Bitcoin mencapai nilai tertinggi dalam sejarah.
Hanya beberapa minggu lalu, nilainya mencapai $106,000 sedangkan di awal tahun ia hanya sekitar $76,000 diapungkan oleh sentimen positif selepas kemenangan Donald Trump seorang presiden pro-kripto. Ketika artikel ditulis, nilai satu Bitcoin berada di sekitar $92,000.
Pada waktu yang sama Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pembayaran zakat menggunakan kripto. Kadar zakat 2.5% yang ditetapkan turut melihat kutipan zakat kerana kripto meningkat tahun ini.
6. Perang Dingin Perdagangan Amerika Syarikat Semakin Panas

Sejak Amerika Syarikat melakukan halangan teknologi ke atas Huawei hampir lima tahun lalu, satu demi satu syarikat teknologi China dimasukkan ke dalam Senarai Entiti. Tidak berakhir di situ halangan baharu dikeluarkan seperti jualan memori HBM ke China dan memasukkan 140 syarikat lagi ke halangan perdagangan ini. Terdapat juga usaha mengharamkan import dron DJI dan mengharamkan TikTok yang pada ketika ini mungkin ditangguhkan oleh Mahkamah Agung.
Sebagai balasan, Kementerian Perdagangan China menghalang eksport galium, antimoni dan germanium dengan alasan ingin mengelakkan Amerika Syarikat menggunakan semua bahan ini untuk tujuan ketenteraan. Huawei kemudiannya menghasilkan sebuah lagi cip sendiri dengan 5G bagi menggunakan kelengkapan lama serta kerjasama SMIC. Mereka juga menawarkan gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC, ASML dan Zeiss untuk berpindah bagi membolehkan mereka kembali menghasilkan cip dengan teknologi terkini.
Ini kemudiannya dibalas pula dengan baharu sekatan ke atas syarikat yang membekalkan cip kepada Huawei. ASML kemudian berhenti memberikan alat ganti kepada pelanggan mesin menghasilkan cip di China bagi mengelakkan ia digunakan untuk memintas sekatan Amerika.
Perang Dagang AS vs China ini turut ada baiknya, di mana ia membawa sumbangan ekonomi negara kita. Tahun ini sahaja ada banyak syarikat semikonduktor ingin membuka dan telah membuka kilang di Malaysia. Neways salah satu daripadanya, kemudian oleh Malaysia sendiri Semiconductor IC Design Park mula dibuka dan Infineon melaburkan RM34 bilion untuk mengembangkan fasiliti mereka di Kulim. Ini secara tidak langsung turut membuka pelbagai peluang pekerjaan di Malaysia.
7. Malaysia Menjadi Pusat Untuk Pusat Data

Bermula hujung tahun lepas dan diteruskan pada tahun ini, banyak syarikat teknologi memberi pelaburan tinggi di Malaysia untuk pembangunan pusat data. Di Johor, YTL akan mempunyai sistem superkomputer AI paling berkuasa dengan NVIDIA GB200 NVL72.
Kemudian pada bulan Mei, Microsoft mengumumkan pelaburan sebanyak $2.2 bilion di Malaysia untuk perkembangan teknologi AI dan perkomputeran awan. Menjelang bulan Julai, TM dan Nxera membina pusat data lestari di Iskandar Puteri Johor. Sebulan selepas itu, AWS Region pula dilancarkan di Malaysia. Seperti perang perdagangan AS dengan China yang banyak memberi peluang baik kepada ekonomi Malaysia, kewujudan pelbagai pusat data dan pelaburan AI ini juga sama.
8. Pelesenan Platform Media Sosial Di Malaysia

Pelesenan platform media sosial menjadi topik hangat sejak pertengahan tahun. Sejurus selepas pengumuman dilakukan, Asia Internet Coalition (AIC) menyatakan lesen ini akan menghalang inovasi. Kemudian Meta pula tidak yakin dengan lesen ini kerana ia tidak jelas. Menurut Kementerian Komunikasi, pelesenan adalah perlu untuk mengelakkan jenayah seperti penjualan dadah, pengedaran kandungan cetak rompak atau juga pengedaran kandungan lucah.
Setakat ini terdapat 8 platform media sosial yang telah diwajibkan untuk membayar lesen operasi di Malaysia iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube, Telegram, WeChat, dan TikTok. Setakat ini Telegram dan TikTok dan WeChat sahaja telah menerima lesen. X m
9. Syarikat Teknologi Utama Didenda dan Disiasat Kerana Amalan Anti Persaingan

Kes anti monopoli kerajaan Amerika Syarikat ke atas Microsoft pada tahun 2001 hampir menyebabkan gergasi teknologi ini dipecahkan menjadi dua gara-gara mereka didapati memonopoli menerusi penggabungan sistem operasi dan perisian Internet Explorer. Microsoft terpaksa membuka antaramuka menghasilkan perisian mereka kepada pihak ketiga.
Tahun ini Google pula didapati bersalah dalam mengamalkan perniagaan secara monopoli dan anti persaingan dan diarahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) untuk menjual Chrome dan memisahkan Play Store daripada Android. Suruhanjaya Perdagangan Adil Jepun Jepun (JFTC) turut menuduh Google atas kesalahan yang sama.
Bukan Google sahaja yang didapati bersalah dalam hal ini. Bulan November lepas, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) memulakan siasatan ke atas Microsoft kerana dakwaan melakukan amalan monopoli perniagaan pelesenan perisian, kecerdasan buatan (AI), awanan, dan sekuriti.
Apple pula akur dengan arahan Kesatuan Eropah (EU) untuk membuka iOS kepada sistem pembayaran dan juga stor aplikasi pihak ketiga. Stor alternatif ini hanya boleh diakses di negara ahli EU sahaja dengan Apple masih mengenakan bayaran Core Technology Fee sebanyak €0.50 untuk setiap pemasangan aplikasi bagi menanggung kos saringan memastikan ia selamat ditawarkan kepada pengguna di stor pihak ketiga.
10. Permulaan Era Peranti AI Yang Pincang

Januari tahun lalu siri Samsung Galaxy S24 dilancarkan sebagai peranti AI pertama ke pasaran global. Kemampuan Galaxy AI membantu penulisan, mengubah lakaran menjadi lukisan, menyunting gambar dan melakukan rumusan dokumen panjang amatlah membantu. Kemudian diikuti pula oleh Humane AI Pin dan Rabbit R1 yang cuba menjual idea peranti AI kendiri boleh menggantikan telefon pintar. Kedua-duanya gagal akibat kombinasi perisian lemah, maklum balas perlahan dan bateri tidak tahan lama.
Kemudian AI PC pula dilancarkan pada komputer Windows dengan cip Intel. Tetapi belum sempat bertatih AI PC dikuburkan oleh Copilot+ PC dengan keperluan NPU yang lebih berkuasa. Komputer AI generasi pertama hanya sempat bernafas selama tiga bulan sebelum dianggap tidak cukup berkuasa.
Pada September Sir Jony Ive mengesahkan sedang membangunkan sebuah peranti AI dengan kerjasama OpenAI. Kegagalan AI Pin dan R1 tidak menjadi penghalang kepada mantan ketua jurureka Apple ini untuk melakukan percubaan yang sama.
Seterusnya Apple Intelligence diumumkan pada peranti Apple dengan kemampuan yang tidak begitu menakjubkan. Siri dengan ChatGPT amatlah perlahan dan memberikan jawapan yang tidak sebaik Google Assistant apakan pula Google Gemini yang merupakan antara teknologi terbaik 2024 menurut pendapat kami di Amanz.
Kesimpulannya era peranti AI sudah bermula tetapi tidak ada satu syarikat setakat ini mampu menunjukkan ia adalah sebuah keperluan untuk semua pengguna. Ianya masih lagi sebuah niche dan kami menantikan sama ada 2025 boleh membawakan perubahan besar.


