
Separuh tahun pertama 2026 telah berlalu dan semalam kami terbitkan artikel 10 berita teknologi terbesar dunia setakat ini. Awal 2026 membawakan pelbagai cabaran dan rintangan. Berikut ialah 10 berita teknologi terbesar Malaysia setakat ini.
1.Media Sosial Diharamkan Untuk Pengguna Bawah 16 Tahun

Berkuat-kuasa 1 Jun 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kini mengumumkan pelaksanaan dan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) dikuat-kuasakan, sekaligus mengharamkan individu bawah 16 tahun dari menggunakan media sosial.
Mereka tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, dan juga YouTube. Platform sosial perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam menguatkuasakan perkara ini dan proses pengesahan perlu dilaksanakan platform berkaitan.
Untuk pengguna bawah 16 tahun sedia ada, platform perlu melakukan pengecaman dan akaun berkaitan perlu diberikan tempoh selama sebulan untuk memuat-turun dan memindahkan data sebelum akaun berkenaan diambil tindakan lanjutan seperti sekatan atau penggantungan. Platform yang gagal menghalang akses pengguna bawah 16 tahun boleh didenda RM10 juta menurut Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC)
2.Misi Mencari MH370 Gagal Lagi

Misi pencarian MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 yang dilakukan pada Disember 2025 masih gagal mencari lokasi akhir pesawat Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Operasi dijalankan oleh firma Ocean Infinity dengan kontrak menyatakan jika pesawat tidak dijumpai tiada bayaran akan dikenakan. Sekiranya pesawat berjaya dijumpai, Ocean Infinity akan menerima bayaran $70 juta (~RM 285 juta).
Kontrak degan Ocean Infinity yang berpangkalan di Amerika Syarikat baru sahaja dilanjutkan minggu bagi melengkapkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 km². Dalam dua misi yang dilakukan selama 28 hari sebelum ini, misi hanya berjaya melakukan pencarian dalam 7,571 km² daripada 15,000 km² kawasan yang dipercayai mungkin lokasi akhir MH370.
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 masih belum terungkai walaupun sudah lebih 12 tahun. Sejak insiden berlaku beberapa penambahbaikan pada sistem penjejakan pesawat telah diperkenalkan. Sistem satelit Iridium-Aireon kini menjejak lokasi pesawat secara masa nyata dan bukan lagi setiap 15 minit sebelumnya.
3, LHDN Terbit Garis Panduan Cukai Yang Perlu Dibayar Pempengaruh Media Sosial

Pempengaruh media sosial atau influencer ialah kerjaya yang baru sahaja wujud sekitar 15 tahun lalu dengan ramai ingin menjadikan menjadikannya kerjaya tetap kerana dicandu oleh cerita menerima bayaran tinggi dengan kerja yang dilihat mudah.
Dengan semakin ramai ingin menjadi pempengaruh, Lembaga Hasil Dalam Negari (LHDN) telah menerbitkan garis panduan terperinci cukai-cukai yang perlu dibayar pempengaruh media sosial.
Pendapatan yang perlu diisytiharkan untuk dikenakan cuai pula adalah bayaran platform seperti diterima di YouTube atau Google AdSense, bayaran untuk mempromosikan produk atau ulasan berbayar termasuk bayaran dalam bentuk bukan tunai seperti barang tajaan, perkhidmatan percuma, baucar, atau diskaun yang diterima sebai ganti wang ringgit.
Dengan garis panduan yang terperinci ini, pempengaruh tidak lagi boleh menggunakan alasan tidak tahu, tidak jelas atau mencari alasan untuk mengelat membayar cukai pendapatan.
4.Lagu Janaan AI Ini Di Tangga Teratas Carta iTunes Malaysia Buat Pertama Kali

Pada Februari lalu, lagu Cinta Tersimpul Rapi oleh Jane In Heaven berjaya mencapai tangga teratas carta iTunes Malaysia. Ia adalah lagu saduran Cinta Tersimpul Rapi yang dipopularkan oleh Anis Suraya di dekad 90an yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI). Ini adalah kali pertama lagu janaan AI mencapai puncak carta di Malaysia.
Tetapi selepas tular di media sosial, lagu ditarik daripada iTunes dan semua video di YouTube telah dipadam dengan mesej menunjukkan hak cipta telah dituntut oleh Suria Records (SRC). Lebih 40 lagu saduran janaan AI di saluran Jane in Heaven juga telah dipadam. Antara lagu artis yang disadur menggunakan AI ialah yang dinyanyikan oleh M Nasir, Aishah, Search, dan Sudirman.
5.Pos Malaysia Menggunakan Robot Penghantaran Barang Pukal Swapandu Zelos

Malaysia telah memperkenalkan Zelos, iaitu robot penghantaran dan akan menjadi salah satu kenderaan pengeposan mereka pada Januari lalu.Ia adalah hasil kerjasama Pos Malaysia dan Automotive Logistic Solutions Sdn Bhd.
Robot penghantaran Zelos akan melalui ujian terlebih dahulu selama 3-6 bulan dalam dua fasa, dengan fasa pertama di Pusat Mel Nasional. Kemudian fasa kedua di beberapa lokasi seperti Cyberjaya yang mempunyai jalan raya yang sesuai untuk ujian swapandu. Robot ini dihasilkan bertujuan untuk pengeposan pukal dan barangan bersaiz besar serta boleh digunakan sebagai penghantaran barangan antara cawangan Pos Malaysia.
Robot penghantaran ini mempunyai penarafan swapandu logistik tahap 4, dimana ia membolehkan operasi logistik dan pengeposan dilakukan sepenuhnya tanpa pemandu namun dalam kawasan yang dipantau pasukan Pos Malaysia. Ia lengkap dengan pelbagai sensor antaranya sensor LIDAR, kamera, sensor lampu isyarat, dan sekiranya terdapat kecemasan, terdapat pasukan yang akan mengambil alih kawalan dari jarak jauh.
6.LRT3 Akhirnya Memulakan Operasi

Perkhidmatan LRT 3 atau nama rasminya LRT laluan Shah Alam memulakan beroperasi bermula 29 Jun. selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot utama LRT3 pada 28 Jun. Tarikh permulaan perkhidmatan LRT 3 sudah beberapa kali tertangguh disebabkan isu teknikal. Sebelum ini ia sepatutnya memulakan operasi pada 31 Disember 20265. Perkhidmatan kini boleh digunakan secara percuma selama sebulan.
LRT laluan Shah Alam ialah perkhidmatan rel transit keempat di Lembah Kelang dengan ia dikendalikan oleh Rapid KL. Laluan akan mempunyai 25 stesen yang buat pertama kalinya terletak di luar sempadan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menghubungkan stesen Bandar Utama di Petaling dengan stesen Johan Setia di Klang.
Pembinaan laluan ini menelan belanja RM21.93 bilion yang adalah lebih rendah berbanding kos anggaran asal RM31.65 bilion semasa diluluskan pada tahun 2015. Ia mampu membawa sehingga 39,260 penumpang setiap jam dengan pihak Rapid KL mengesahkan pada hari pertama ia mencatatkan 58,865 pengguna.
7.Kemas Kini Budi95 dan Budi Diesel Diperkenalkan

Tahun lalu Budi95 dilancarkan sebagai program subsidi bahan api bersasar kerajaan. Pemilik kenderaan diesel merungut kerana merasakan diri mereka seperti terpinggir. Tahun ini Budi95 telah dikemaskini dan Program Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pula diperkenalkan.
Di bawah Budi95, minyak RON95 dijual pada harga RM1.99 seliter dengan kuota telah dikurangkan daripada 300 liter sebulan ke 200 liter sebulan berikutan konflik Asia Barat. Di bawah Budi Diesel pula, minyak diesel dijual pada harga RM2.10 seliter dengan kuota juga 200 liter sebulan .
Bagi pemilik jip atau pikap yang lazim digunakan untuk perjalanan jauh atau membawa muatan berat pula, mereka boleh memohon tambahan sebanyak 100 liter tetapi ia bergantung kepada kelayakan.
8.Tiang Bendera Tertinggi Asia Tenggara Dirasmikan Di Selangor

Tiang Bendera Negeri Selangor dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dataran Selangor, Shah Alam pada 9 Mac. Dengan ketinggian 120 meter, ia memegang status sebagai tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara memintas Tiang Bendera Ibu Pertiwi di Sarawak yang setinggi 99 meter. Projek pembinaan menelan belanja RM8.56 juta dengan pembinaan dimulakan pada 10 September 2024 dan siap pada 7 Mac 2026.
Tiang Bendera Negeri Selangor diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara. Ia mengibarkan bendera Selangor sebesar 15 x 30 meter seberat 50 kilogram. Selama 10 hari setahun pula, ia akan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. Tiang Bendera Negeri Selangor dirasmikan pada 8 Mac sempena Hari Keputeraan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Walaupun Tiang Bendera Negeri Selangor adalah yang tertinggi di Asia Tengara ia masih rendah jika dibandingkan dengan tiang bendera tertinggi dunia yang terletak di Kaherah, Mesir dengan ketinggian 201.95 meter.
9.Jambatan Batang Lupar Dibuka – Terpanjang Menyeberangi Sungai Di Malaysia

Kemudian pada bulan Mei, Jambatan Batang Lupar No. 1 yang menghubungkan Sebuyau dan Maludam di Sarawak telah dibuka secara rasmi. Dengan panjang sekitar 4.8 km merentasi Sungai Batang Lupar, ia kini menjadi jambatan terpanjang menyeberangi sungai di Malaysia, mengatasi Jambatan Sungai Johor (1.7 km).
Ia sebahagian daripada Program Rangkaian Jalan Pesisir & Jalan Utama Kedua, bertujuan meningkatkan sambungan kawasan pesisir ke bandar utama. Pembinaan telah dimulakan pada Mac 2021 dengan projek menelan belanja RM 848.75 juta. Perkhidmatan feri Sebuyau–Triso ditamatkan secara berperingkat selepas jambatan dibuka. Sebelum jambatan ini dibina, penduduk setempat menggunakan perkhidmatan feri sejak beberapa dekad yang lalu.
Jambatan terpanjang di Malaysia masih lagi dipegang oleh Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sepanjang 24 km yang menghubungkan Bandar Cassia (Batu Kawan) di Seberang Perai dengan Batu Maung di Pulau Pinang.
10. Sabah dan Sarawak Ingin Menjadi Tapak Pelancaran Angkasa Lepas Malaysia

Meneruskan tema Borneo, Sabah dan Sarawak mengumumkan perancangan untuk menjadi lokasi pelancaran roket di Malaysia. Kerajaan negeri Sabah bersama-sama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menjalankan kajian untuk melihat sekiranya Lahad Datu merupakan sebuah kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi pelancaran roket dan kapal angkasa di masa akan datang.
Sarawak pula merancang untuk mempunyai agensi angkasa tersendiri, sekaligus membolehkan negeri berkenaan melakukan pelaburan dan pembangunan dalam sektor aeroangkasa. Agensi Angkasa Sarawak ini kelak dijangka akan menjadi salah satu agensi yang memfokuskan kepada penyelarasan utama dalam hal-hal berkaitan aeroangkasa, termasuk merancang, menjalin dan membangunkan keupayaan tempatan. Pada masa yang sama, Sarawak turut merancang untuk pelancaran nanosatelit menjelang 2030 untuk perancangan alam sekitar dan pengurusan sumber.





