Android 14 diumumkan secara rasmi awal pagi tadi dengan ia digunakan pada siri Google Pixel 8 terlebih dahulu. Kemas kini akan diberikan secara berperingkat pada peranti Pixel yang lain sebelum pengeluar Android menyusul dengan pelancar mereka. Berikut adalah 10 ciri paling menarik yang dapat dinikmati pada Android 14.

1. Latar Belakang Dijana AI Generatif

Malas mencari gambar latar belakang untuk telefon Android anda? Jangan risau kerana di Android 14 anda boleh menjana imej latar belakang yang unik dengan hanya anda satu-satunya yang menggunakannya. Menerusi ciri ini masukkan prom imej latar belakang yang ingin dihasilkan. Android kemudian akan memproses prom tersebut menjadi sebuah gambar khusus untuk anda. Pada peringkat awal ia akan diberikan pada peranti Pixel sahaja terlebih dahulu sebelum juga diaktifkan pada peranti Android pengeluar lain yang ingin menyokongnya.
2. Tema Monokrom

Tema monokrom pada Nothing Phone (2) mendapat perhatian ramai kerana kesemua elemen antaramuka menjadi hitam putih. Ada yang menyukainya sehingga ciri dieksport ke peranti Android lain. Bermula dengan Android 14, tema monokrom akan terbina pada sistem operasi dan semua peranti Android juga boleh menikmati antaramuka monokrom yang nampak menarik dan pada waktu yang sama terbukti dapat mengurangkan penggunaan telefon pintar jika itulah sasaran anda.
3. Lebih Banyak Pilihan Memperibadikan Skrin Kunci

Android telah lama membenarkan skrin kunci telefon diperibadikan oleh pengguna. Tetapi iOS 16 menunjukkan cara yang lebih bergaya, ceria dan terkini mengikut trend semasa. Bermula dengan Android 14 pengguna boleh melalukan pelbagai perubahan pada elemen skrin kunci supaya lebih serasi dengan gaya peribadi. Reka huruf, warna elemen dan widget boleh diubah mengikut rasa.
4. Kawalan Privasi Lebih Baik Dan Jelas

Penggunaan data peribadi masih menjadi isu hangat di kalangan pengguna yang tidak mahu data mereka digunakan tanpa kebenaran. Pada Android 14, sistem operasi akan memberitahu pengguna bagaimana aplikasi yang dipasang akan menggunakan data apabila diberikan akses kepadanya. Dengan maklumat dipaparkan dengan jelas mengenai penggunaan data, akses boleh dihadkan kepada yang diperlukan sahaja selepas ini.
5. Notifikasi – Lampu Dan Skrin Berkelip

Suatu ketika dahulu setiap telefon Android mempunyai lampu notifikasi di bahagian dahi peranti. Dengan rekaan skrin semakin besar, ciri ini sudahpun pupus pada peranti moden. Ini membuatkan kerap kali notifikasi yang diterima tidak disedari kerana peranti telah dibisukan. Dengan Android 14, menyalakan lampu flash dan skrin apabila notifikasi diterima akan diberikan kepada semua. Pada skrin, pengguna turut boleh memilih warna skrin menyala apabila notifikasi diterima. Tiada lagi alasan terlepas mesej atau emel penting selepas ini.
6. Health Connect – Data Kesihatan Setempat

Menerusi Health Connect data peribadi yang digunakan untuk tujuan penjejakan kesihatan akan disimpan secara setempat. Dengan ini data dari pelbagai aplikasi kesihatan boleh disimpan dalam satu pangkalan data yang lebih teratur. Apabila aplikasi kesihatan baharu dipasang, ia boleh mengakses data yang tersimpan dalam Health Connect dengan kebenaran terletak dalam tangan pengguna. Ucapkan selamat tinggal kepada data kesihatan hilang kerana berubah ke aplikasi kesihatan lain selepas ini.
7. Telefon Digunakan Sebagai Kamera Web

Telefon Android di tangan anda kami yakin mempunyai kamera yang lebih baik kualitinya berbanding kamera web komputer riba anda. Google menyedari hakikat ini dan Android 14 membolehkan telefon pintar digunakan sebagai kamera web dengan sebuah PC. Ia semudah memasang kabel dari telefon ke PC. Pilih menu menggunakan telefon sebagai kamera web dan kemudian dalam perisian seperti Google Meet misalnya pilihan telefon sebagai kamera web pilihan. Pada waktu ini sokongan kamera web secara berwayar sahaja disokong tidak seperti Continuity Camera pada iOS 17.
8. Ultra HDR – Melihat Kandungan HDR Seperti Sepatutnya

Sokongan rakaman HDR pada peranti Android telah disokong sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi apabila dipaparkan pada skrin telefon gambar yang diambil kelihatan tidak bermaya. Menerusi ciri Ultra HDR yang terbina dalam Android 14, kandungan HDR akan dipaparkan seperti sepatutnya pada peranti moden yang mempunyai skrin yang menyokong HDR. Gambar yang diambil juga boleh disandarkan dengan betul di awanan menerusi Google Photos lengkap dengan ciri suntingan yang dipertingkatkan.
9. Mengesan Penjejak Objek Berhampiran

Penjejak objek seperti Galaxy SmartTag2 dan AirTag direka untuk menjejak objek yang dimiliki. Tetapi ia telah disalahgunakan untuk tujuan jenayah dengan pelbagai kes telah kami laporkan di Amanz. Menerusi Android 14, sokongan penjejak objek untuk ekosistem Android dan iOS kini diaktifkan. Notifikasi akan diterima sekiranya peranti mengesan penjejak objek berada berhampiran. Dengan menu dalam aplikasi, ia kemudiannya boleh dibunyikan untuk dijejak dan dinyahaktifkan sekiranya dikhuatiri digunakan untuk menjejak pergerakan peribadi pengguna.
10. Ciri Ketercapaian Untuk OKU Penglihatan Dan Pendengaran

Ciri ketercapaian untuk golongan OKU juga tidak dilupakan. Terdapat pilihan kanta pembesar yang boleh diubah dengan lebih mudah. Dengan ini mereka yang mungkin sedikit rabun jauh (seperti kami) boleh mengaktifkan ciri ini untuk melihat teks pada skrin yang mungkin terlalu kecil untuk dibaca. Saiz huruf pada skrin juga boleh diubah dengan bukan sekadar saiz tetapi jarak antara huruf serta ketinggian boleh diubah.
Bukan itu sahaja tetapan mengubah saiz teks boleh diakses terus menerus menu pantas dari talam notifikasi peranti. Bagi OKU pendengaran pula, terdapat menu khusus untuk mengawal alat bantuan pendengaran dengan ia tidak sekadar disenaraikan sebagai aksesori bluetooth biasa.
Ini sahaja 10 ciri paling menarik yang bakal dinikmati pemilik peranti Android 14. Kita hanya perlu menanti bilakah pula setiap pengeluar akan menerbitkan susur masa bilaka peranti keluaran mereka akan menerima versi terkini sistem operasi Android ini.
