10 Fakta Menarik Tentang Filem 'Buya Hamka' Lakonan Vino G Bastian Dan Laudya Cynthia Bella

Movie
30 Mar 2023 • 11:20 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Filem dari negara jiran, Indonesia iaitu Buya Hamka arahan sutradara terkenal, Fajar Bustomi bakal ditayangkan pada 20 April ini. - Gambar Instagram Filem Buya Hamka

Filem dari negara jiran, Indonesia iaitu Buya Hamka arahan sutradara terkenal, Fajar Bustomi bakal ditayangkan pada 20 April ini. 

Getaran turut diundang ke majlis pelancaran treler filem ini yang berlangsung  di Jakarta  baru-baru ini dan berkesempatan menemu bual sutradara filem tersebut untuk mendapatkan fakta-fakta menarik mengenai filem biopik  ini. 

image is not available
Gambar Instagram Buya Hamka

Berikut merupakan 10 fakta  menarik mengenai filem Buya Hamka :

Filem Termahal Indonesia 

Dikhabarkan filem ini merupakan filem termahal terbitan Indonesia yang menelan kos sebanyak AS$3 juta (sekitar RM12 juta). Dua rumah produksi gergasi Indonesia bergabung sebagai penerbit iaitu Star Vision dan Falcon Pictures di mana perkara ini jarang-jarang berlaku dalam industri perfileman di Indonesia.

image is not available
Poster filem Buya Hamka - Gambar Instagram Buya Hamka

Sembilan Tahun Untuk Disiapkan

Filem ini mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan sejak idea asalnya diusulkan pada tahun 2014. Namun, hanya pada tahun 2019 filem ini mula menjalani penggambaran selama enam bulan. 

Pihak produksi  terpaksa menunggu lagi empat tahun untuk tayangan dek pandemik yang melanda dunia. Sewaktu pawagam mula dibuka semula untuk orang awam selepas pandemik, penerbit tetap mengambil  keputusan untuk tidak mahu menayangkan filem ini kepada umum kerana ketika itu hanya 25 peratus kapasiti penonton yang dibenarkan berada di panggung disebabkan penjarakan fizikal. 

Filem Trilogi 

Menurut  Fajar Bustomi,  filem ini pada asalnya dibuat untuk dijadikan dua bahagian sahaja. Namun disebabkan durasi filem ini mengambil masa selama tujuh jam, maka pihak produksi mengambil keputusan untuk membahagikan filem ini kepada tiga bahagian kerana tidak mahu ada bahagian yang dipotong. Pihak produksi juga merancang untuk menayangkan ketiga-tiga bahagian filem ini dalam waktu terdekat iaitu pada sambutan Aidilfitri, Aidiladha dan tahun baru. 

Jurusolek Kesan Khas Dibawa Dari London 

Dalam filem ini, terdapat bahagian di mana ketika umur Buya Hamka sudah tua. Untuk menjelmakan sosok Buya Hamka  yang tua, pihak produksi telah melantik jurusolek kesan khas dari London dan ia menelan belanja sebanyak kira-kira RM400,000. 

image is not available
Wajah Vino G Bastian selepas mendapat sentuhan solekan tua. - Gambar Instagram Buya Hamka

Lima Jam Persiapan Untuk Solekan Wajah Tua Buya Hamka

Pelakon utama filem ini iaitu Vino G Bastian terpaksa menahan sabar selama lima jam untuk disolek menjadi Buya Hamka versi tua. Menurut Vino, ketika awal penggambaran babak Buya Hamka versi tua itu, mereka mengalami kesulitan kerana solekan tidak konsisten untuk babak yang berikutnya. Namun lama kelamaan, mereka berjaya mengekalkan solekan yang konsisten. 

Bina Kapal Dan Set Penggambaran

Salah satu babak dalam filem ini memaparkan perjalanan Buya Hamka menaiki kapal sewaktu mahu mengerjakan ibadah haji. Disebabkan enggan menggunakan teknik CGI yang berlebihan, Fajar nekad mahu membina kapal untuk babak berkenaan. Antara prop dan set yang dibina untuk filem ini adalah surau dan kincir air. 

image is not available
Set penggambaran filem Buya Hamka yang dibina. - Gambar Instagram Buya Hamka

Jalani Penggambaran Di Mesir Untuk Babak Di Kota Mekah

Untuk babak yang memaparkan perjalanan Buya Hamka di kota Mekah, mereka telah menjalani penggambaran  di Mesir. Menurut Fajar, sebab kenapa mereka memilih Mesir adalah kerana mahu mendapatkan suasana ketika zaman dahulu memandang kota Mekah sekarang sudah moden. 

Lokasi penggambaran mereka di Mesir turut ditutup selama beberapa hari demi memberi laluan untuk mereka jalani penggambaran. Menurut Vino, biarpun babak dia berjalan di padang pasir  kelihatan seperti dia sedang berjalan di dalam cuaca panas, namun katanya cuaca di Mesir sangat sejuk ketika penggambaran babak itu dijalankan. 

Laudya Cynthia  Bella Jalani Penggambaran Ketika Masih Menetap Di Malaysia 

Sewaktu penggambaran  filem ini dijalankan pada tahun 2019, salah seorang pelakon utama filem ini iaitu Laudya Cynthia Bella masih menetap di Malaysia dan pada ketika itu, dia masih bergelar isteri kepada Engku Emran. 

Menurut Fajar, Bella memang menjadi pilihan pertamanya untuk membawakan watak isteri kepada Buya Hamka kerana dia merupakan seorang yang berperawakan sopan dan sesuai dengan penampilannya yang sudah berhijrah. 

image is not available
Laudya Cynthia Bella (kiri). - Gambar Instagram filem Buya Hamka

Kedua-dua Pelakon Utama Berketurunan Minang Sama Seperti Buya Hamka

Kedua-dua pasangan hero dan heroin filem ini iaitu Vino G Bastian dan Laudya Cynthia Bella merupakan keturunan Minang sama seperti Buya Hamka. Jadi agak mudah bagi mereka untuk bertutur menggunakan dialek Minang. Namun mereka turut disediakan  dengan jurulatih bahasa Minang kerana dialog untuk filem ini mengambil latar  belakang zaman sebelum merdeka. 

Timbalan Presiden Indonesia Minta Untuk Tonton Filem Ini Sebelum Tarikh Tayang Perdana

Timbalan Presiden Indonesia iaitu K.H. Ma'ruf Amin telah meminta untuk menonton  filem ini lebih awal iaitu pada  tanggal 21 Mac lalu sebelum tarikh tayang perdana yang dijadualkan berlangsung pada 9 April ini. 

Disebabkan itu, pihak produksi telah mengaturkan satu tayangan istimewa buat beliau yang telah memberikan pujian terhadap filem ini. Selain Timbalan Presiden, filem ini juga telah ditayangkan terlebih dahulu kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Buya Hamka. Menurut Vino, dia lega kerana seluruh ahli keluarga Allahyarham Buya Hamka menyukai lakonannya. 

image is not available
K.H. Ma'ruf Amin telah meminta untuk menonton filem ini lebih awal iaitu pada tanggal 21 Mac lalu sebelum tarikh tayang perdana yang dijadualkan berlangsung pada 9 April ini. - Gambar Instagram Filem Buya Hamka

Filem ini turut dibintangi oleh pelakon popular lain seperti Reza Rahadian, Anjasmara dan Desy Ratnasari. Buya Hamka dijangka akan ditayangkan di Malaysia selepas selesai tayangan di Indonesia kelak dan dibawakan khas oleh TGV Pictures. – Getaran, 30 Mac 2023