10 Kemerdekaan Dan Penjajahan Teknologi Yang Dilupakan

TechnologyDigital
30 Aug 2024 • 6:31 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Selamat menyambut ulang tahun ke-67 kemerdekaan daripada jajahan Inggeris. Agak klise tetapi setiap tahun apabila hari mulia ini tiba, setiap publikasi di Malaysia akan menerbitkan kandungan bertemakan kebebasan dan juga pengorbanan leluhur kini menerajang kolonialis keluar daripada bumi yang cukup bertuah ini. Kami tidak terkecuali daripada kelompok ini kerana artikel topikal adalah malar hijau dan mudah dihasilkan. Berikut ialah Kemerdekaan dan Penjajahan teknologi yang kami rasakan dilupakan oleh orang ramai.

1.Kemerdekaan Mengakses Maklumat

image is not available

Saya berusia 45 tahun pada tahun ini dan tahun ini genaplah 30 tahun saya menggunakan internet buat pertama kali (terima kasih kafe siber berhampiran Perpustakaan Sultan Ismail di Larkin). Agak sukar untuk memberitahu generasi muda dunia pra-internet. Kesemuanya harus dilakukan secara manual dan jika ingin mempelajari sesuatu topik anda perlu mempunyai buku atau ensiklopedia berkaitan. Di sekolah saya diberi nama jolokan “World Book” kerana kerap membaca ensiklopedia World Book di perpustakaan.

Akses kepada ilmu adalah terhad di zaman pra-internet. Ketika melakukan kajian tempatan PMR untuk Bangunan Sultan Ibrahim saya pergi ke Perpustakaan Sultan Ismail. Keratan akhbar dan slaid dibaca untuk menerbitkan laporan yang kemudiannya perlu ditulis dengan tangan. Ya anak-anak muda zaman uncle dahulu menaip di komputer adalah dilarang bagi memastikan kesaksamaan antara pelajar yang tidak mempunyai komputer peribadi.

Kini anda boleh mencari semua ilmu di dunia dengan hanya melakukan carian Google atau melayari Reddit. Tiada had apakah yang ingin dipelajari. Walaupun sudah 30 tahun menggunakan internet, saya masih kagum dengan betapa mudahnya mempelajari ilmu baharu menerusi kotak elektronik empat segi kecil dalam genggaman tangan.

2.Penjajahan Iklan Yang Semakin Melampau

image is not available

Tak semua yang dibawa oleh internet ini baik-baik belaka. Kini kita dijajah oleh pengiklanan hampir setiap minit. Mahu membaca berita daripada laman web? Bersedialah untuk disergah dengan 6 iklan dengan butang menutup ultra kecil sehingga anda secara tidak sengaja tertekan iklan. Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube kesemuanya dipenuhi iklan yang melampau berbanding sepuluh tahun lalu. Depan video ada iklan dan tengah-tengah video pun sama jika akaun Premium tidak dilanggan.

Anda tidak boleh melarikan diri daripada iklan. Terjumpa bebenang tular di Twitter? Di bawah pastinya ada pautan afiliat ke Shopee atau hamba Anubis menempel tanpa segan silu menjual AirPods palsu pada harga tak munasabah. Anda melanggan kepada TV satelit? Pada menu EPG saluran, iklan besar terpampang. Walaupun langganan sudah dibayar, iklan masih dihidangkan setiap 15 minit.

Percayalah bahawa penjajahan iklan ini akan semakin kritikal dalam masa terdekat kerana Netflix, Amazon dan Disney+ telah melancarkan pelan dengan iklan di negara lain. Kita hanya menunggu masa sahaja untuk iklan datang mendarat ke negara kita seperti Francis Light tiba di Pulau Pinang.

3.Kemerdekaan Daripada Monopoli Satu Sistem Pembayaran Sahaja

image is not available

Tahun lalu kita merdeka daripada perlu menggunakan kad Touch n’ Go fizikal di kesemua plaza tol utama di Malaysia. Kita telah diberikan pilihan untuk membayar menggunakan kad debit dan kredit. Seperti runtuhnya Tembok Berlin, satu persatu sistem yang hanya menyokong Touch n’ Go mula memberikan pilihan pembayaran yang lebih pelbagai.

Bermula dengan parkir kemudian ke pasar malam dan kedai serbaneka semuanya mula menerima sistem pembayaran lain. Hasilnya ialah kalau satu sistem mengalami masalah, terdapat sistem lain yang boleh digunakan. Kenapa kemerdekaan ini tidak dicapai lebih awal adalah sebuah misteri.

4.Penjajahan Langganan Bulanan

image is not available

Bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat berilmu boleh bersetuju menormalisasikan perkhidmatan bayaran bulanan? Dua dekad lalu anda boleh membeli Microsoft Office dan Adobe Photoshop yang kemudiannya boleh digunakan selagi anda menyimpan nombor siri pengaktifan perisian. Kini kedua-dua perisian ini memerlukan langganan bulanan.

Masih ingatkan anda Google Photos dahulu percuma tanpa had jika gambar disimpan pada kualiti rendah? Kini dalam masa setahun kuota simpanan awanan 15GB boleh dihabiskan dan langganan storan tambahan perlu dibayar.

Kenapa kita bersetuju melanggan kepada perkhidmatan muzik dan video digital sehingga menyebabkan storan fizikal terkubur dan majoriti artis tidak boleh menjana pendapatan? Saya tiada jawapan kepada persoalan ini kerana saya juga sudah terjebak. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak melanggan sedar-sedar 10 perkhidmatan perlu dibayar di penghujung bulan.

5.Kemerdekaan Untuk Merungut

image is not available

Kita bebas untuk merungut di media sosial dan sekiranya tular, tindakan segera akan dilakukan sebelum dihentam lebih teruk oleh warganet. Terdapat ratusan kes tindakan hanya diambil selepas kita merungut tanpa menggunakan “saluran yang betul”. Polisi tidak popular oleh kerajaan seperti cadangan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 berjaya dikuburkan dalam masa seminggu selepas dikeroyok warganet di media sosial.

Kes jenayah melibatkan selebriti, salah laku di asrama sekolah, makanan ditempah tak sampai, restoran kotor, perkhidmatan kaunter kerajaan yang sambil lewa dan banyak lagi semuanya boleh ditularkan. Tiga dekad lalu ini semua adalah mustahil kerana dijajah protokol dan saluran betul.

6.Penjajahan Algoritma

image is not available

Di atas saya memuji penggunaan media sosial untuk mendapatkan “keadilan sosial”. Tetapi media sosial pula menyebabkan kita dijajah algoritma yang mementingkan jumlah tontonan, klik dan membeli produk. Anda secara tidak sengaja menonton kandungan konspirasi yang tak berasas di YouTube? Algoritma kemudian akan menyarankan semakin banyak kandungan konspirasi sehingga ramai kini percaya bumi ialah The Martrix, kapal terbang menyembur gas kawalan minda dan MH370 kini di Ruang Angkasa Setan. Kita masih tiada sebarang perundangan mengawal algoritma berbahaya.

Hanya TikTok setahu saya membenarkan algoritma FYP ditetapkan semula dan YouTube mematikan penjejakan Watch History. Saranan yang diberikan kemudian akan menjadi kacau bilau tetapi ini adalah perlu bagi melindungi diri daripada algoritma yang secara majoritinya menawarkan kandungan yang kurang sihat.

7.Kemerdekaan Daripada Wang Kertas

image is not available

Saya sangat bersyukur penggunaan dompet digital dan DuitNow sudah semakin meluas walaupun pada awal pengenalannya ia dijadikan jenaka politik. Tiada lagi keperluan untuk membawa wang “ringek” kertas ke mana-mana sahaja kerana makcik menjual air kelapa tepi jalan kini menerima imbasan DuitNow. Malahan sistem imbasan kod QR yang sama boleh digunakan apabila melawat negara-negara jiran serantau.

Ini ialah kemerdekaan yang paling saya hargai kerana sebelum ini kerap mempunyai masalah lupa mengeluarkan wang. Sejak hidup dalam dunia nirtunai, saya tidak lagi perlu menyirap apabila peniaga bertanya “tak ada duit kecik ke bang?” yang menyebabkan beberapa pembelian terpaksa dibatalkan. Ia turut membuatkan diri kurang rasa bersalah apabila kakak air kelapa mengucapkan “tak apa dik akak halal 20 sen” apabila saya kekurangan wang.

8. Penjajahan Penipuan Atas Talian Berterusan

image is not available

Internet menjanjikan masa depan masyarakat yang lebih berilmu kerana ia kemerdekaan mengakses maklumat. Tetapi utopia ini masih tidak dicapai kerana ramai tidak menggunakan internet untuk menambahkan ilmu di hippocampus. Minggu ini kerugian mencecah RM 1.6 bilion dicatatkan di Malaysia disebabkan oleh penipuan atas talian sejak 19 bulan yang lalu melibatkan 40,385 kes. Peningkatan dua kali berbanding 12 tahun yang lalu. Sama ada masyarakat semakin mudah ditipu atau penipu semakin bijak kerana menggunakan internet untuk memperdayakan mangsa.

9. Kemerdekaan Daripada Faktor Harga

image is not available

Sejak tiga tahu kebelakangan ini saya boleh katakan kepada anda harga sesebuah telefon bukan lagi kayu pengukur ianya bagus ataupun tidak. Lambakan peranti dari China yang memasuki pasaran tempatan memulakan perang harga. Sedekad yang lalu jika peranti dijual pada harga bawah RM 1000 ia boleh secara automatik dilabel sampah kerana perlahan, tidak berkuasa, kamera kentang dan bermasalah. Kini pada tanda harga yang sama anda boleh memiliki peranti yang senonoh, responsif dan hadir dengan pengecasan pantas. Peranti yang baik kini wujud pada semua tanda harga dan jangan biarkan minda anda dijajah oleh dakyah “yang lebih mahal lebih bagus”.

10. Penjajahan Teknologi

image is not available

Akhir sekali kita harus menyentuh mengenai penjajahan teknologi yang telahpun disentuh dalam rencana Merdeka dua tahun lalu. Dalam masa 24 bulan, Amerika meningkatkan lagi kekangan ke atas Rusia dan China atas faktor politik serta keselamatan negara. Cip tidak boleh dibeli, mesin khusus tidak boleh dijual dan aplikasi yang tidak diserahkan akan diharamkan. Jika Amerika boleh melakukan perkara-perkara ini ke atas China dan Rusia, apakah yang akan terjadi jika Malaysia turut menerima layanan yang sama?

Malaysia sedang menerima tempias positif perang teknologi China-Amerika dengan pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit dalam sektor semikonduktor dan pusat data telah diumumkan. Tetapi ini meletakkan Malaysia di kedudukan yang sensitif. Keputusan menggunakan alatan telekomunikasi China oleh DNB2 menerima amaran Amerika Syarikat dan EU. Hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS juga dilihat berisiko menyebabkan pelaburan yang diumumkan dibatalkan.

Sebagai negara kecil Malaysia tersepit di tengah-tengah Panda Gergasi, Beruang Siberia dan Helang Botak yang sedang bergaduh. Harimau Malaya merdeka daripada Singa Bertiga 67 tahun lalu dan kini perlu lebih bijak di belantara teknologi bagi menggelakkan peristiwa 1874 berulang kembali.