10 Negara Dengan Hutang IMF Tertinggi 2026!

WorldBusiness & Finance
27 Feb 2026 • 4:40 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

image is not available

Kebanyakan negara dilihat masih bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kewangan, meskipun ekonomi global mula pulih selepas pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik dunia.

IMF merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh 190 buah negara.

Organisasi ini berperanan membantu negara anggota yang menghadapi krisis ekonomi melalui pinjaman kecemasan, sokongan kestabilan nilai mata wang, reformasi struktur ekonomi dan pemulihan keyakinan pelabur.

Menurut laporan CNBC Indonesia, data terkini sehingga akhir Januari 2026 menunjukkan jumlah kredit IMF yang masih belum diselesaikan adalah sekitar $165 bilion.

Berikut adalah 10 negara dengan hutang IMF tertinggi pada 2026:-

1. Argentina

Argentina kekal berada di kedudukan teratas sebagai sebuah negara yang memiliki hutang IMF terbesar pada tahun 2026.

Negara Amerika Selatan itu menanggung beban hutang sekitar $57.74 bilion, jauh mengatasi negara-negara lain.

Statistik ini membuktikan ketergantungan Argentina terhadap dana sokongan IMF sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

2. Ukraine

Di kedudukan kedua ialah Ukraine dengan jumlah hutang sekitar $13.93 bilion. Konflik berterusan dengan Rusia sejak Februari 2022 telah memberi tekanan besar terhadap ekonomi negara berkenaan.

Ia turut didorong oleh penyusutan hasil kerajaan dan keperluan perbelanjaan awam yang meningkat.

3. Pakistan

Pakistan berada di tempat ketiga dengan $10.17 bilion. Kedudukan ini mencerminkan cabaran berterusan negara tersebut dalam mengurus defisit akaun semasa, rizab pertukaran asing yang rendah serta beban hutang luar yang besar.

4. Ecuador

Negara Amerika Selatan ini mencatatkan hutang sebanyak $9.95 bilion. Ecuador berdepan tekanan fiskal yang signifikan termasuk peningkatan kos pembiayaan global dan keperluan untuk mengekalkan kestabilan mata wang serta subsidi domestik.

5. Mesir

Jumlah beban hutang Mesir dianggarkan kira-kira $9 bilion. Negara ini menghadapi tekanan fiskal yang teruk berpunca daripada peningkatan kos pembiayaan global dan tuntutan untuk mengekalkan kestabilan mata wang serta subsidi dalam negara.

6. Ivory Coast

Ivory Coast berada di kedudukan keenam selepas merekodkan jumlah hutang sebanyak $5.00 bilion.

Walaupun ekonominya berkembang, negara ini masih memerlukan sokongan IMF bagi memperkukuh struktur fiskal dan meningkatkan daya tahan ekonomi terhadap kejutan luaran.

7. Kenya

Kenya mempunyai jumlah hutang sebanyak $4.06 bilion. Seperti kebanyakan negara membangun, Kenya bergelut dengan kos pembayaran faedah yang tinggi.

8. Bangladesh

Bangladesh merupakan antara negara Asia yang bergantung kepada pembiayaan IMF dengan jumlah hutang sebanyak $3.98 bilion bagi menyokong rizab pertukaran asingnya.

9. Ghana

Di tempat kesembilan ialah Ghana dengan $3.92 bilion. Ghana sedang dalam proses penyusunan semula hutang untuk memulihkan kestabilan makroekonomi.

10. Angola

Angola melengkapkan senarai dengan $3.45 bilion. Sebagai negara pengeluar minyak, Angola sangat terkesan dengan ketidaktentuan harga komoditi global yang menjejaskan hasil negara.

Hakikatnya, statistik tersebut mencerminkan tekanan ekonomi beberapa negara masih belum pulih sepenuhnya.

Ketergantungan terhadap pinjaman luar ini mewujudkan kitaran hutang yang akhirnya membebankan rakyat melalui tekanan inflasi dan ruang fiskal kerajaan yang semakin sempit.