10 Perkara Menarik dan Mengecewakan – Siri Google Pixel 9

TechnologyDigital
15 Aug 2024 • 5:59 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ya akhirnya Google Pixel mendarat di Malaysia selepas penantian selama 8 tahun. Pratempahan telah dibuka dan pasti ramai peminat peranti pintar Android mempunyai persoalan sama ada ini ialah peranti untuk mereka.

Kami cuba menjawab soalan anda dengan menyenaraikan 10 perkara yang kami rasakan menarik dan mengecewakan pada siri Google Pixel 9 tahun ini. Di akhir artikel diharap anda dapat melakukan pilihan sama ada berbaloi ataupun tidak membelinya.

Menarik – Rekaan Memang Premium dan Selesa

image is not available

Sudah lama kami tidak menggunakan peranti Pixel. Kali terakhir ialah Pixel 3a XL dan sebelum ini Pixel XL asal. Kami rasakan dari segi rekaan Pixel sebelum ini tidak mempunyai rekaan yang boleh kami katakan benar-benar premium. Terdapat beberapa insiden tular apabila kaca pada kamera Pixel pecah secara rawak.

Pada siri Pixel 9, kami bolah katakan peranti memang terasa premium, berat di dalam tangan dan selesa dipegang. Sisi berkotak yang digunakan membuatkannya mempunyai rekaan seakan iPhone yang kami rasakan mempunyai rekaan tubuh terbaik pada peranti dan menjadi ikutan pengeluar lain. Bagi mereka yang mencari peranti premium terasa mewah di tangan, ketiga-tiga model Pixel 9 memenuhi kriteria ini.

Menarik – Perisian Android Paling Asli

image is not available

Dengan Android 14 terus dari Google, pengalaman penggunaan peranti terasa sangat lancar, pantas dan tanpa sebarang isu sepanjang masa kami mengujinya semalam. Tiada isu aplikasi terpasang yang tidak diperlukan mengambil ruangan storan. Ini adalah penting kerana Google menawarkan peranti dengan storan asas 128GB yang kami boleh katakan kecil untuk tahun 2024.

Juga tiada isu iklan terpampang pada peranti. Semua pengeluar Android lain bersalah dalam memaparkan iklan untuk mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi pelancar yang mereka gunakan. Pengalaman Android yang paling asli dan “tidak tercemar” ditawarkan oleh siri Pixel 9.

Menarik – Sokongan Perisian 7 Tahun

image is not available

Sebelum ini hanya Samsung menawarkan kemas kini Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun. Kini Google memasuki gelanggang di Malaysia bagi memberikan persaingan. Walaupun tempoh sokongan perisian adalah sama, Pixel mempunyai kelebihan menerima kemas kini versi Android dan Pixel Drops yang lebih pantas berbanding Samsung. Pada hari pertama perisian baharu diumumkan ia boleh dimuat turun pemilik Pixel. Ini menjadikan Pixel setaraf dengan yang sudah dinikmati pengguna iPhone sejak azali. Ini kelebihan yang belum mampu ditawarkan pengeluar peranti Android yang lain.

Menarik – Ciri AI Yang Unik

image is not available

Samsung ada Galaxy AI yang menggunakan teknologi Google Gemini. Pixel juga mempunyai ciri AI tetapi dengan penawaran eksklusif. Gemini Studio menjana imej menggunakan prom yang dimasukkan pengguna pada peranti tanpa memerlukan internet. Imej boleh dijana dalam masa kurang 5 saat sahaja. Lebih pantas Sketch to Image dan Portrait Studio Samsung yang mengambil masa sekitar 30 saat untuk melakukan tugasan yang sama.

Kemudian terdapat Reimagine yang mengubah elemen dalam gambar juga menggunakan prom dalam masa beberapa saat. Keseluruhan langit, imej latar dan juga lantai boleh diubah dengan apa sahaja yang pengguna mahukan dibantu oleh AI. Akhir sekali ialah sebuah lagi ciri eksklusif iaitu Add Me yang boleh menambah seseorang ke dalam gambar yang ingin diambil. Tak timbul lagi masalah orang yang perlu mengambil gambar tidak boleh berada dalam gambar berkumpulan selepas ini.

Menarik – RAM Asas Semakin Besar

image is not available

Tahun lalu pengguna Pixel merungut model asas hanya dilengkapi 8GB RAM dan model Pro pula sekadar 12GB RAM. Penawaran memori yang kecil jika dibandingkan dengan kecil jika dibandingkan dengan pengeluar peranti dari China. Kekurangan RAM ini menjadi isu kerana Pixel tidak mempunyai ciri RAM maya yang boleh ditambah apabila diperlukan. Pada Pixel 9 kini 12GB RAM diberikan manakala pada model Pro ia meningkat ke 16GB RAM. Pengguna Pixel 9 tidak akan merungut tidak banyak aplikasi boleh dilancarkan serentak tanpa perlu menjalani proses segar semula dengan kerap.

Menarik – Kamera Terbaik Android

image is not available

Pengeluar lain memberikan penekanan kepada sensor gergasi 200MP dan sistem zum melampau jauh sehingga ke bulan. Pixel tidak pernah cuba untuk bertarung dalam arena siapa paling besar dan jauh. Sebaliknya kekuatan Pixel sejak dari awal ialah kemampuan fotografi perkomputeran yang memberikan penekanan terus pada algoritma untuk memastikan setiap gambar yang diambil berkualiti tinggi. Dalam pelbagai “ujian buta” yang dijalankan di atas talian, majoriti pengguna memilih gambar yang diambil oleh peranti Pixel. Jadi kami mempunyai kepercayaan ini akan berlau sekali lagi menerusi siri Pixel 9. Algoritma fotografi Google masih belum mampu dipintas oleh pengeluar Android lain.

Mengecewakan – Pengecasan Perlahan

image is not available

Tak semuanya positif dan masa untuk menyentuh kekurangan siri Pixel 9 pula. Dimulakan dengan pengecasan yang perlahan. Pixel 9 dan Pixel 9 Pro sekadar boleh dicas dengan kuasa 27W walaupun bateri sebesar 4700 mAh. Pixel 9 Pro XL pula mengecas dengan kuasa 37W dengan bateri pula sebesar 5060 mAh.

Di Amanz kami membantai Apple dan Samsung yang terkenal dengan pengecasan perlahan berbanding peranti kelas pertengahan Android dari China. Maka adalah adil untuk membantai Google juga. Pada hemat kami di Amanz, pada tahun 2024 peranti mercu sepatutnya hadir dengan sekurang-kurangnya pengecasan 45W.

Mengecewakan – Tensor G4 Bukan Cip Paling Berkuasa

image is not available

Di atas kertas Tensor G4 ialah cip yang mempunyai konfigurasi yang sama dengan Snapdragon 7+ Gen 3 yang digunakan pada peranti pertengahan Realme GT 6T. Ia tidak setanding Snapdragon 8 Gen 3 yang mempunyai konfigurasi teras serta GPU yang lebih baik. Tetapi Google memasarkan siri Pixel 9 sebagai peranti mercu yang juga pada harga yang setanding peranti mercu pesaing.

Adakah pengguna Pixel akan berpuas hati dengan prestasi gaming kelas pertengahan pada peranti mercu? Google mengatakan Tensor 4 memberikan keutamaan kepada kemampuan AI yang menjadi tunjang beberapa ciri unik yang telah kami sentuh di atas. Persoalannya mengapa Google tidak menghasilkan cip Tensor yang lebih berkuasa sahaja?

Mengecewakan – Tidak Semua Ciri Disokong Di Malaysia

image is not available

Masihkah anda ingat kontroversi Pixel 4 dengan ciri Motion Sense yang hanya boleh digunakan di enam negara? Ia boleh digunakan di Singapura tetapi sebaik sahaja menyeberangi tambak, ia terus dinyahaktifkan. Pada Pixel 9 ciri Satellite SOS yang menghantar SMS kecemasan menggunakan satelit terhad di tanah besar Amerika Syarikat. Kemudian ciri pengesanan kemalangan kereta dan perkhidmatan lokasi kecemasan juga tidak ditawarkan di Malaysia. Mereka yang ingin membeli harus mengetahui bahawa tidak semua ciri yang diiklankan Google boleh digunakan.

Mengecewakan – Harga Meningkat Terlalu Mendadak

image is not available

Akhir sekali ialah harga jualan peranti yang tinggi. Pixel 9 bermula daripada RM3999, Pixel 9 Pro bermula daripada RM5199 dan Pixel 9 Pro XL pula bermula daripada RM5699. Kami akui ini ialah harga standard peranti mercu moden tetapi seperti yang telah disentuh di atas, siri Pixel 9 tidak dilengkapi cip pemproses kelas mercu sebenar. Peranti dengan kuasa yang sama dijual pada harga bawah RM3000.

Maka buatlah pilihan yang terbaik selepas membaca artikel ini. Adakah kelebihan yang ada pada siri Pixel 9 membuatkan anda kini teruja untuk memilikinya bulan ini?