10 Tanda Usus Tak Sihat Yang Ramai Orang Selalu Abaikan

Health & Fitness
18 Mar 2026 • 2:26 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

10 Tanda Usus Tak Sihat Yang Ramai Orang Selalu Abaikan

Kesihatan usus sering menjadi aspek yang jarang diberi perhatian walhal ia memainkan peranan penting dalam kesejahteraan tubuh secara menyeluruh. Usus bukan sahaja membantu proses penghadaman makanan tetapi juga bertanggungjawab untuk penyerapan nutrien, pengawalan sistem imun dan kestabilan mood.

Malangnya, ramai yang tidak menyedari bahawa ketidakseimbangan atau masalah pada usus boleh menjejaskan kesihatan secara diam-diam sebelum gejala serius muncul.

Tanda-tanda usus tak sihat kadangkala halus dan mudah diabaikan seperti kembung, keletihan atau perubahan mood. Namun, jika diperhatikan lebih awal, ia boleh menjadi isyarat penting bahawa tubuh memerlukan perhatian dan penjagaan tambahan.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan 10 tanda utama usus tak sihat yang ramai orang sering terlepas pandang serta implikasinya terhadap kesihatan secara keseluruhan.

1. Masalah penghadaman yang kerap

Gangguan penghadaman adalah salah satu petanda paling jelas bahawa usus tidak berada dalam keadaan optimum. Jika anda sering mengalami kembung, angin berlebihan, sembelit atau cirit-birit, ini mungkin menandakan bahawa proses pencernaan makanan dan penyingkiran sisa badan sedang terganggu.

Perut yang terasa pedih atau tidak selesa selepas makan juga boleh menunjukkan bahawa sistem penghadaman anda sedang bekerja lebih keras daripada biasa. Masalah ini bukan sahaja mengganggu keselesaan harian tetapi juga boleh menjejaskan kualiti hidup kerana rasa tidak selesa atau perut buncit sering membuatkan seseorang merasa kurang yakin dan lesu.

2. Kelesuan dan keletihan berpanjangan

Rasa letih yang berterusan walaupun sudah cukup tidur adalah salah satu kesan ketidakseimbangan usus yang sering diabaikan. Usus yang tidak sihat akan menyukarkan penyerapan vitamin dan mineral penting daripada makanan sehingga tubuh tidak mendapat tenaga yang diperlukan untuk menjalankan fungsi harian.

Malah kajian menunjukkan hampir separuh individu yang mengalami keletihan kronik juga mempunyai masalah pencernaan seperti sindrom iritasi usus (IBS). Keletihan yang berpanjangan boleh menjejaskan produktiviti, mood dan motivasi seseorang sekali gus menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan usus dari awal.

3. Masalah tidur

Tahukah anda bahawa sebahagian besar serotonin, neurotransmitter yang mempengaruhi mood dan tidur dihasilkan dalam usus? Apabila keseimbangan bakteria usus terganggu atau berlaku keradangan, tubuh mungkin menghadapi kesukaran untuk tidur nyenyak.

Masalah tidur seperti insomnia atau tidur yang terganggu boleh menyebabkan keletihan pada siang hari, mengurangkan daya tumpuan dan meningkatkan risiko tekanan serta masalah kesihatan kronik. Ini menunjukkan bahawa menjaga kesihatan usus bukan sahaja penting untuk pencernaan tetapi juga untuk kualiti tidur dan kestabilan emosi.

4. Intoleransi terhadap sesetengah makanan

Seseorang mungkin mengalami kesukaran mencerna makanan tertentu kerana flora usus yang tidak seimbang. Gejala seperti kembung, loya, gas berlebihan, cirit-birit atau sakit perut selepas makan makanan tertentu mungkin menunjukkan intoleransi makanan.

Ini bukan sekadar masalah kecil. Ia menandakan bahawa tubuh tidak dapat menyerap nutrien dengan baik dan flora usus yang terganggu boleh mempengaruhi keseluruhan sistem pencernaan. Dalam jangka masa panjang, intoleransi makanan yang tidak ditangani boleh menyebabkan kekurangan nutrien penting dan melemahkan sistem imun.

5. Keinginan makanan yang tidak terkawal

Keinginan makanan yang kuat terutama terhadap gula atau makanan ringan sering kali berkait rapat dengan kesihatan usus. Pengambilan gula yang berlebihan akan memberi makanan kepada bakteria tidak baik dalam usus serta menyebabkan keradangan dan ketidakseimbangan flora.

Selain menjejaskan sistem penghadaman, gula berlebihan juga meningkatkan risiko penyakit seperti obesiti, diabetes dan masalah kardiovaskular. Keinginan yang berterusan untuk gula atau makanan bergula adalah satu isyarat bahawa tubuh sedang cuba mendapatkan keseimbangan bakteria yang hilang.

6. Perubahan berat badan yang tidak dijangka

Ketidakseimbangan usus juga boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah dalam pengawalan berat badan. Masalah ini timbul kerana tubuh tidak dapat menyerap nutrien dengan optimum, mengawal gula dalam darah atau menyimpan lemak dengan betul.

Akibatnya, seseorang boleh mengalami penambahan atau penurunan berat badan secara tiba-tiba walaupun tiada perubahan besar dalam diet atau gaya hidup. Situasi ini boleh menimbulkan kebimbangan dan memberi kesan psikologi kerana perubahan berat badan yang tidak terkawal sering dikaitkan dengan masalah kesihatan lain.

7. Masalah kulit

Kulit juga sering dianggap sebagai cermin kesihatan dalaman. Masalah kulit seperti jerawat, eczema atau psoriasis boleh muncul akibat keradangan atau ketidakseimbangan flora usus. Usus yang terganggu akan menghasilkan toksin yang masuk ke aliran darah dan mempengaruhi kulit.

Ini menunjukkan bahawa penjagaan kesihatan usus bukan sahaja untuk penghadaman tetapi juga untuk mengekalkan kecantikan kulit secara semula jadi tanpa bergantung sepenuhnya pada produk luaran.

8. Migrain dan sakit kepala kerap

Di samping itu juga, hubungan antara usus dan sistem saraf semakin mendapat perhatian dalam kajian saintifik. Individu yang kerap mengalami migrain atau sakit kepala terutamanya disertai loya atau muntah mungkin mempunyai masalah pencernaan atau keradangan dalam usus.

Ketidakseimbangan usus boleh mencetuskan gangguan pada sistem saraf, menjejaskan mood, konsentrasi dan kualiti hidup. Ini menekankan bahawa menjaga kesihatan usus bukan sekadar untuk penghadaman tetapi juga penting untuk kesejahteraan neurologi.

9. Masalah autoimun

Ketidakseimbangan usus yang kronik boleh meningkatkan risiko penyakit autoimun. Bakteria tidak baik yang berlebihan boleh mencetuskan tindak balas imun yang tidak normal akan menyebabkan tubuh menyerang tisu dan organ sendiri.

Beberapa contoh penyakit autoimun yang berkait dengan usus termasuk gangguan tiroid, artritis rheumatoid, multiple sclerosis dan diabetes jenis 1. Ini menunjukkan bahawa kesihatan usus yang baik adalah kunci untuk mengawal sistem imun dan mencegah penyakit kronik yang serius.

10. Perubahan mood yang ketara

Selain itu, keradangan dalam usus atau ketidakseimbangan bakteria boleh menjejaskan pengeluaran neurotransmitter dan membawa kepada gangguan mood seperti keresahan, kemurungan atau perubahan emosi secara mendadak.

Fenomena ini dikenali sebagai hubungan usus-otak (gut-brain axis) di mana kesihatan usus secara langsung mempengaruhi kesejahteraan mental dan emosi seseorang. Memperbaiki kesihatan usus bukan sahaja membantu sistem penghadaman tetapi juga memberi kesan positif terhadap kestabilan mental dan kualiti hidup.

Baca juga:

Secara keseluruhannya, kesihatan usus dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk genetik, sejarah keluarga, diet, gaya hidup, tahap stres dan corak tidur. Walau bagaimanapun, terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan atau memulihkan kesihatan usus termasuk pemakanan seimbang, pengambilan probiotik, pengurusan stres, senaman sederhana dan tidur yang cukup.

Apabila usus berfungsi dengan baik, tubuh mampu mencerna makanan dengan optimum, menyerap nutrien, menyingkirkan toksin, menguatkan sistem imun dan mengekalkan keseimbangan emosi. Dengan memahami tanda-tanda usus tak sihat dan mengambil langkah pencegahan awal, anda bukan sahaja meningkatkan kesihatan pencernaan tetapi juga kualiti hidup secara menyeluruh.