10 Tempat Sarapan Best Di Selangor

Food
30 Jul 2023 • 9:35 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Selangor kaya dengan pelbagai hidangan enak - gambar Pexels

Sudah menjadi budaya orang Malaysia memburu tempat makan yang menikmati hidangan yang digemari terutamanya pada hujung minggu. Kalau dulu, ramai yang lebih suka bersarapan ala kadar di rumah, sekarang ini lain ceritanya. 

Dengan kewujudan platform sosial media, bagaikan ada perlumbaan tak rasmi, ‘siapa yang paling happening makan itu dan ini’. Istimewa untuk warga Selangor dan mereka yang singgah ke negeri ini, beriku adalah 10 tempat sarapan hits di Selangor! 

1) Kopitiam 143, Ampang Jaya

image is not available
Pelanggan tidak dibenarkan membungkus kerana pemilik mahu mengekalkan kualiti makanan - gambar Tourism Selangor

Berada di pekan kecil Ampang, Kopitiam 143 menyajikan hidangan sarapan tradisional seperti telur separuh masak, wantan mi, roti bakar arang dan masakan Asia yang lazat. Dibuka dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari, kecuali Selasa, pelanggan hanya dibenarkan makan di sini! Tidak boleh bungkus untuk dibawa pulang kerana pemilik mahu mengekalkan kualiti dan rasa hidangan yang baru dimasak!

2) Roti Leleh Batu Arang, Gombak

image is not available
Hidang roti bakar dengan aroma arang ini amat menggamit selera - gambar Original Roti Leleh Batu Arang

Penuh dengan sejarah dan nilai warisan, Batu Arang merupakan sebuah pekan kecil yang tinggal di daerah Gombak. Roti Canai Batu Arang adalah tempat menjamu selera yang terkenal dalam kalangan mereka yang sering melalui kawasan ini.  Bahkan ramai juga yang sanggup memandu ke sini semata-mata untuk menikmati hidangan yang satu ini. Roti Leleh Batu Arang dibuka setiap hari kecuali Selasa dan Jumaat dari 6 jam pagi hingga 1 tengah hari. Datang awal jika tidak mahu berbaris panjang.

3) Atap by Pagi Coffee Co, Subang Jaya

image is not available
Atap sesua untuk pengunjung yang ingin ketenangan ketika bersarapan - gambar @atapbypcc

Terletak di loteng tingkat dua di SS15 Subang Jaya, Atap by Pagi Coffee Co mempersembahkan hidangan istimewa, Keju Bakar dengan pilihan kopi dan kombucha. Dibuka dari 7.30 pagi hingga 6 petang, kafe ini sesuai dengan pengunjung yang mencari persekitaran yang estetik dan tenang untuk sarapan pagi atau untuk sarapan lewat pagi yang enak.

4) Kueh@Seksyen 13, Shah Alam

image is not available
Kueh menawarkan pelbagai pilihan kuih muih tradisional - gambar @kuehcafe

Bagi yang pernah sampai ke sini, pasti anda tahu betapa banyaknya pilihan kuih-muih yang tersedia. Kueh@Seksyen 13 menawarkan lebih 40 jenis kuih muih tempatan yang dibuat pada setiap hari. Ada kuih tradisonal yang jarang dijumpai dan ada juga kuih-kuih moden. 

Selain itu, ada juga hidangan membuka selera yang lain seperti, laksa, nasi tomato,  nasi lemak ayam berempah dan menu kudapan-kudapan yang lain. Kafe ini dibuka dari 10 pagi hingga 8 malam.

5) Auntie Foo Cafe, Kuala Selangor

image is not available
Kafe ini turut menyediakan buku untuk dibaca pelanggan - gambar Auntie Foo Cafe

Mulakan travelog anda di Kuala Selangor di Auntie Foo Cafe. Terletak di kaki Bukit Melawati dan berhampiran Taman Alam Kuala Selangor, kafe ini merupakan tempat persinggahan yang sempurna selepas bersiar-siar di sekitar dua tempat bersejarah ini. 

Kafe ini menawarkan makanan ringan, snek dan minuman berserta buku untuk memastikan pelanggan sibuk dan ia dikenali sebagai pusat sehenti untuk pelancong mendapatkan maklumat bagi membuat lawatan peribadi di sekitar Kuala Selangor.

6) Hay! Cafe, Sekinchan

image is not available
Hay! Cafe dikelilingi sawah padi menghijau - gambar @hay.paddy

Dikelilingi oleh sawah padi yang menghijau di Sekinchan, kafe bertemakan gaya Inggeris ini menawarkan pelbagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak ayam rempah, pasta, kopi dan kek. Pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera di ruangan dalam yang berhawa dingin atau menikmati sarapan pagi di sebelah luar sambil menikmati keindahan sawah padi yang terbentang luas. Kafe ini dibuka dari 9 pagi hingga 4.30 petang pada setiap hari.

7) 100Houz Coffee & Breakfast, Kajang

image is not available
Ada pelbagai menu termasuk hidangan ala Inggeris di kafe ini - gambar @100 hauz

Rumah teres 70-an yang terletak di Jalan Reko, Kajang ini menawarkan pelbagai menu sarapan pagi, daripada sarapan gaya Inggeris, pasta, makanan ringan, pastri dan kopi, memberikan suasana yang tenang. Sesuai untuk mereka yang mengidamkan sarapan pagi ringkas dalam suasana santai! Kafe dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

8) Pak Teh Kopitiam, Kuala Langat

image is not available
Anda boleh mencuba dry curry mee yang lazat di sini - gambar @paktehkopitiam

Terletak hanya 35 minit dari Shah Alam, banglo tradisional Cina setingkat ini memberikan suasana restoran tradisional, namun masih mempunyai citarasa moden tersendiri. Antara hidangan istimewa yang boleh didapati di kopitiam halal ini ialah nasi lemak ikan dory, dry curry wantan mee, dan pelbagai pilihan roti bakar. Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari 7.30 pagi hingga 4.00 petang. Satu fakta mesti tahu ialah, kopitiam ini sering dipenuhi oleh penunggang basikal pada sebelah pagi!

9) Bahulu Classiq, Hulu Langat

image is not available
Kedai kecil ini menawarkan lontong, mi jawa dan mi rebus asli - gambar @bahuluclasiqhululangat

Terletak di Hulu Langat, Bahulu Classiq mengimbau suasana tempat sarapan pagi di Batu 18, Kampung Jawa. Kedai kecil ini menawarkan lontong, mi jawa dan mi rebus asli dan terletak di hadapan Mata Air Panas Kampung Jawa, salah satu Geosite Selangor di bawah Geopark Gombak-Hulu Langat. Lokasi selera ini juga adalah tempat persinggahan popular di kalangan penunggang basikal!

10) Warong Ketupat Yan Kampung Permatang, Kuala Selangor

image is not available
Anda boleh menikmati sate dan pelbagai jenis ketupat di sini - gambar Warong Ketupat Yan Kampung Permatang, Kuala Selangor



Ini adalah port terbaik untuk menikmati sarapan pagi di Kuala Selangor! Warong Ketupat Yan di Kampung Permatang, Kuala Selangor menyajikan pelbagai jenis ketupat, sate, serunding dan kuih-muih tempatan. Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi, hidangan mesti cuba mereka ialah sate kerang. Jadi kalau sudah sampai di sini jangan lupa pesan.  

Jadi, tunggu apa lagi? Luangkan me time atau bersama rakan-rakan anda untuk bersarapan santai di 10 tempat sarapan pagi di Selangor ini sambil menjelajah tempat-tempat menarik! Untuk lebih banyak maklumat tentang Selangor boleh juga layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel - Getaran, 30 Julai 2023