10 Warga Myanmar Ditahan Cuba Masuki Malaysia Secara Haram

22 Jun 2024 • 5:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Seramai 10 pendatang tanpa izin warga Myanmar ditahan ketika cuba memasuki negara ini di kawasan kebun getah dekat sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua yang ditahan terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.

"Pada 21 Jun 2024 jam 3.40 petang, pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 10 warga Myanmar itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan," katanya.

Turut dirampas enam unit telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu dan wang tunai dalam mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM3,326.23.

Menurut kenyataan itu, kesemua pendatang itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

"Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan pendatang tanpa izin," katanya. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved