
TAWAU: 100 gerai bakal dibuka untuk disewa buat peniaga berminat sempena Pesta Malam Tahun Baharu Cina ‘Kuda Berlari Cemerlang’ selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Februari di tempat letak kereta Fujimart.
Pengerusi Penganjur Liow Chun Jet berkata mereka yang berminat menyertai pesta tersebut sebagai peniaga gerai digesa supaya mendaftar lebih awal kerana penyertaan adalah terhad dan berdasarkan konsep siapa cepat.
Menurutnya program sempena ketibaan Tahun Baru Cina anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong daripada Parti Warisan itu menawarkan kadar sewaan berpatutan untuk tempoh tiga hari tersebut.
Katanya pesta malam tersebut akan memberi peluang kepada para peniaga untuk menjual pelbagai barangan dan makanan sempena perayaan selain membolehkan orang ramai seisi keluarga keluar bersama-sama membeli keperluan perayaan dan menikmati suasana perayaan yang meriah.
Beliau turut menjemput para peniaga yang berminat menyertai acara tahunan ini untuk bersama-sama mewujudkan sebuah pasar perayaan yang penuh dengan suasana Tahun Baharu Cina bukan sahaja sebagai lokasi tumpuan penduduk tempatan malah sebagai destinasi persinggahan pelancong.
Liow berkata mereka yang berminat untuk menempah tapak gerai boleh hadir sendiri ke Pejabat Adun Sri Tanjong (Parti Warisan) berhampiran Pasar Sin On bermula jam 9 pagi hingga 3 petang untuk mendapatkan borang pendaftaran yang akan mula diedarkan bermula 16 Januari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata tujuan penganjuran pesta malam tersebut adalah untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan dan persefahaman antara kaum.



