
KUNAK: Sejumlah 102 kes penyakit tuberkulosis (tibi) dilaporkan di Kunak dalam tempoh Januari hingga Jumaat (10 Mac), menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 83 kes dilaporkan tahun lalu.
Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Kunak, Dr Izaidi Salman Yazid berkata, trend peningkatan kes tibi di daerah itu kini dalam pemantauan rapi.
“Sehubungan itu, pihak Jabatan giat menjalankan program di lapangan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perlunya masyarakat membuat saringan kesihatan, khususnya untuk mengesan penyakit itu lebih awal,” katanya ketika ditemui semasa Program ‘Intensive Case Finding’ (ICF) – Tibi, yang diadakan di Dewan Kg Bagiang, pada Sabtu.
Hadir sama, Adun Kunak Norazlinah Arif yang merasmikan majlis, dan Penolong Pegawai Daerah Rubert Salimon.
Sementara itu, Norazlinah menggesa komuniti kampung supaya sentiasa mengutamakan kesihatan dan aspek kebersihan.
“Saya menyeru masyarakat supaya mengutamakan aspek kebersihan. Jangan sambil lewa jika ada simptom tibi.
“Dapatkan rawatan di hospital dari peringkat awal supaya ia boleh dirawat dan dicegah daripada merebak,” kata Norazlinah.
Beliau juga mengajak masyarakat menjadikan aspek kebersihan sebagai budaya seharian agar hidup lebih sejahtera dan selesa.
Program di Kg Bagiang itu merupakan inisiatif untuk membolehkan penduduk sekitar memperoleh saringan tibi secara percuma, dengan matlamat untuk mencegah penularan jangkitan.
Jabatan Kesihatan turut melaporkan empat kes tibi di Kg Bagiang setakat 10 Mac tahun ini, berbanding lima kes tibi sepanjang tahun lalu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

