103 pelajar, guru sempat selamatkan diri asrama terbakar

17 Jul 2022 • 11:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TONGOD - Seramai 103 pelajar dan seorang guru dari asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, di sini, sempat menyelamatkan diri selepas bilik suis elektrik yang terletak dalam asrama berkenaan terbakar pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 50 kilometer dari BBP Kota Kinabatangan.

"Kebakaran membabitkan sebuah bilik suis di tingkat satu dan dua bangunan asrama lelaki SMK Tongod.

"Ketika kejadian terdapat seramai 103 pelajar dan seorang warden lelaki berada di asrama, namun sempat diarah keluar dari asrama berkenan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan didapati peralatan katil serta tilam musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.

"Kebakaran turut merebak ke tingkat dua bangunan dan pasukan bomba bertindak memadam sepenuhnya kebakaran berkenaan.

"Tidak ada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan barang kegunaan pelajar tiada yang terjejas kerana yang terbakar hanya tilam dan katil yang sudah tidak digunakan," jelasnya.

Nurul Azlan berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.16 petang selepas keadaan semuanya selamat.

Beliau memberitahu, asrama berkenaan buat masa ini ditutup sehingga siasatan mengenal pasti punca kebakaran.

"Saya difahamkan, pihak pengurusan sekolah mengarahkan pelajar ditempatkan secara sementara di surau sekolah," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved