

PETALING JAYA, 31 JULAI: Jabatan Imigresen menggempur kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Hutan Simpan Sungai Buloh, di sini awal pagi Selasa lalu.
‘Rumah kongsi’ yang dipercayai wujud sejak puluhan tahun lalu disewakan warga tempatan di atas tapak yang dibina secara haram pada sewaan serendah RM300.
Ketua Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Mohd Asrul Hazdlyzan Zakaria berkata operasi itu dilakukan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Perhutanan negeri, selaku pemilik tanah.
“Seramai 120 PATI diperiksa dan 104 daripadanya ditahan. Mereka terdiri daripada 30 warga Indonesia, Bangladesh (39) dan India (23), Myanmar (6) dan Pakistan serta Nepal masing-masing tiga warganegara.

“Mereka dihantar ke Depoh Tahanan Semenyih atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa permit sah dan tinggal lebih masa mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada Media Selangor.
Ketika operasi dijalankan, pihak penguat kuasa turut menggempur sebuah bekas pusat rehabilitasi yang diubah menjadi ‘rumah kongsi’ dan menggunakan bekalan elektrik dan air yang dicuri secara sambungan haram.
Difahamkan, pusat rehabilitasi swasta bagi penagih dadah itu telah ditutup sejak beberapa tahun lalu berikutan beroperasi di atas tanah haram, namun kini disewakan kepada warga asing pada harga RM800 sebilik.
Mohd Asrul berkata semua warga asing tersebut ditahan selama dua minggu bagi siasatan dan berdepan pendakwaan mahkamah atau diusir menerusi proses bersama JIM dan pihak kedutaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Azhar Ahmad berkata pihaknya percaya Hutan Simpan Sungai Buloh telah diceroboh sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurut Azhar pencerobohan itu hanya disedari ketika proses penyahwartaan hutan simpan berkenaan yang mula dilakukan baru-baru ini.
“Kita dapat mengesan operasi pendudukan tanpa kebenaran ini telah berlaku lebih 20 tahun. Saya percaya, rumah kongsi warga asing ini, mereka merupakan pekerja pengawal keselamatan di kondominium berhampiran.
“Untuk pekerja lain di kawasan industri dan premis nurseri pokok, saya yakin mereka telah berada di sini sejak sekian lama. Ini termasuk ada warga asing yang mempunyai passport dengan cop terkini pada 2015,” katanya.
Azhar menjelaskan, operasi yang melibatkan seramai 150 anggota pelbagai agensi itu berjalan lancar dan akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga kawasan Hutan Simpan Sungai Buloh itu dibersihkan.






The post 104 PATI ditahan, ceroboh hutan simpan appeared first on Selangorkini.
