
China telah menjalankan hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket penipuan atas talian berskala besar di utara Myanmar. Kesemuanya telah didapati bersalah oleh mahkamah pada November tahun lalu dengan hukuman dijalankan semalam menurut laporan media tempatan.

Mereka adalah ahli kumpulan jenayah terancang Keluarga Ming yang menguasai sindiket penipuan atas talian, pelacuran, dan pengeluaran dadah. Keluarga Ming bebas melakukan aktiviti jenayah mereka kerana mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan tempatan dan militia pro‑junta Myanmar. Di puncak operasi mereka, Keluarga Ming dianggarkan mempunyai 10,000 pekerja yang melakukan aktiviti penipuan atas talian.
Hukuman dijatuhkan selepas mahkamah menolak rayuan dua defendan untuk hukuman mati digantikan. Antara yang telah dihukum mati ialah Antara yang dihukum mati ialah Ming Guoping yang merupakan anak ketua keluarga dan Ming Zhenzhen yang adalah cucu kepada ketua keluarga. Ketua Keluarga Ming, Ming Xuechang telah membunuh diri pada November 2023 ketika melarikan diri daripada ditangkap bagi mengelakkan diri dihadapkan ke muka pengadilan.
Walaupun jenayah Keluarga Ming dilakukan di Myanmar, mereka dibicarakan di China kerana mereka terlibat dengan kematian sekurang‑kurangnya 14 warga China. Sindiket ini menyeksa, menahan, dan membunuh pekerja yang cuba melarikan diri.
