KINABATANGAN - Sebanyak 11 ekor gajah Pygmy Borneo berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot oleh sepasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan pada Sabtu lalu.
Menurut hantaran di Facebook milik 5R Hidupan Liar, kawanan haiwan itu, termasuk seekor anak gajah, gagal keluar dari kolam berkenaan disebabkan tebingnya yang curam dan licin.
"Pada minggu lalu, seekor anak gajah bersama 10 ekor gajah dewasa dilaporkan terperangkap di dalam kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot akibat tebing yang curam dan licin.
"Tanpa berlengah, pasukan JHL daerah Kinabatangan segera hadir ke lokasi dan melaksanakan operasi menyelamat kawanan gajah tersebut dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat.
"Berkat usaha dan kerjasama semua pihak, kawanan gajah tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan," tulisnya pada Isnin.
Menurut hantaran itu lagi, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak JHL turut mencadangkan agar kolam terbiar berkenaan ditutup atau dipasang halangan keselamatan yang bersesuaian.
"Pihak JHL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua individu yang terlibat termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal.
"Kisah ini membuktikan bahawa kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara.
"Setiap tindakan kecil dan laporan awal daripada orang awam mampu memberi impak besar dalam usaha melindungi spesies ikonik Sabah untuk generasi akan datang," katanya.
