11 menara komunikasi di DUN Pengkalan Hulu siap dibina

LocalTechnology
10 Sep 2026 • 12:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 11 menara komunikasi di DUN Pengkalan Hulu siap dibina

IPOH – Kesemua 11 menara komunikasi baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu yang dirancang di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah siap dibina dan beroperasi sejak 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd. Azlan Helmi berkata, sebanyak 47 stesen pemancar sedia ada pula telah siap dinaik taraf dan sebanyak 4,093 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.

“Sebagai kesinambungan kepada inisiatif terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang dalam proses melaksanakan projek Jendela 2 di peringkat nasional. Projek ini dijangka akan bermula pada suku ketiga 2026 dan akan siap secara berperingkat,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamad Amin Roslan (PH-Pengkalan Hulu) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan negeri memantau dan menangani masalah gangguan serta ketidakstabilan capaian jalur lebar yang kerap berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di DUN Pengkalan Hulu.

Mengulas lanjut, Mohd. Azlan berkata, pelaksanaan projek itu melalui penyediaan dua jenis bentuk penyelesaian iaitu perkhidmatan selular awam (4G atau gabungan 4G dan 5G jika bersesuaian) atau perkhidmatan jalur lebar melalui satelit.

“Pemilihan jenis penyelesaian ini akan ditentukan berdasarkan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai, fit-for-purpose dengan mengambil kira faktor seperti kepadatan penduduk, bentuk muka bumi, serta ketersediaan infrastruktur sedia ada berdekatan di tapak.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan penyediaan capaian internet yang menyeluruh kepada kawasan berpenduduk di seluruh negara termasuk di Perak,” katanya.

Beliau berkata, berhubung isu aduan masalah gangguan dan ketidakstabilan capaian internet bagi DUN Pengkalan Hulu, pada tahun lalu, sebanyak 24 aduan berkaitan perkhidmatan internet telah direkodkan.

“Bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Ogos 2026, sebanyak 23 aduan melibatkan 11 lokasi telah diterima untuk tindakan lanjut. Susulan aduan yang diterima, SKMM Perak telah menjalankan pengujian di kesemua 11 lokasi aduan pada bulan Mei dan Ogos 2026 dan kini sedang mendapatkan penilaian teknikal dan pelan tindakan daripada Pemberi Perkhidmatan yang berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 11 menara komunikasi di DUN Pengkalan Hulu siap dibina appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved